Tuesday, March 3, 2015

Hong Kong - Day 5

Hari ini merupakan hari terakhir di Hong Kong.

Untuk menaiki shuttle pada pukul 8.30 pagi terasa macam terlalu awal, jadi kami buat keputusan untuk menaiki teksi. Perjalanan dengan teksi sangat lancar dan tambang yang dikenakan hanyalah HKD 265 sahaja. Selepas check in kami pergi ke kaunter airport express untuk menuntut baki wang yang masih ada di dalam kad Octopus. Caj yang dikenakan untuk proses ini adalah HKD 9 sahaja. Sementara menunggu flight kami pada pukul 1.15 petang, sempat lagi kami bershopping souvenir Disneyland dan membeli beberapa helai baju sejuk. Harga souvenir di HKIA sama seperti di Disneyland.

Semasa kami sedang menunggu untuk boarding, seorang petugas dari Hong Kong tourism datang kepada kami untuk membuat survey mengenai pelancongan di Hong Kong. Seperti biasa mereka bertanya jika kami mempunyai apa-apa cadangan untuk pembaikan, jadi kami mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan supaya tempat-tempat pelancongan utama disediakan sebuah bilik kecil untuk tujuan bersolat bagi masyarakat Muslim. Mungkin permintaan ini agak sukar untuk dilaksanakan di negara yang majoriti rakyatnya bukan beragama Islam tetapi setidak-tidaknya kita telah memaklumkan kepada mereka.  Tidak lupa, kami juga mentioned mengenai kurangnya tandas awam di kawasan subway/MTR.


Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan percutian ke Hong Kong pada kali ini kerana kami dapat pergi kesemua tempat yang telah kami rancangkan. Jika ada rezeki dan kesihatan yang baik, Insha Allah, saya mahu datang ke sini lagi untuk ke Disneyland semula dan mungkin boleh pergi  ke Ocean Park pula. 

Hong Kong - Day 4

Hari ke empat kami pergi ke Disneyland. Tak perlu lah saya cerita panjang-panjang tentang Disneyland. Cukuplah jika saya katakan bahawa kami semua berasa sangat seronok dan terhibur ketika berada di sini terutamanya apabila melihat parade dan pertunjukan bunga api yang meriah. Jom lihat beberapa keping gambar yang di ambil semasa di Disneyland.  


Hong Kong

Hong Kong
Add caption



Hong Kong


Makan tengahari di Tahitian cafe

 

Terdapat dua restoren makanan halal di dalam Disneyland, jadi anda tidak perlu risau langsung tentang makanan halal di sini. 

Untuk bersolat pula, suami saya bertanya kepada petugas di City Hall. Mereka dengan baik hati meminjamkan sebuah bilik VIP untuk tujuan bersolat.

Sewaktu mahu keluar dari Disneyland, kami “ditangkap” oleh seorang petugas Disneyland yang meminta kebenaran untuk membuat survey ke atas kami. Banyak juga soalan yang ditanyakan termasuklah apa cadangan dari kami untuk tujuan pembaikan. Kami maklumkan bahawa layanan petugas di City Hall sangat baik semasa kami ingin bersolat, cuma ada baiknya jika pihak Disney dapat menyediakan sebuah bilik khas untuk pengunjung Muslim bersolat. 


Pulang dari Disneyland kami terus ke kaunter hotel untuk memaklumkan bahawa kami akan menaiki shuttle untuk ke HKIA pada pukul 9.35 pagi esok. Menurut petugas hotel, nama kami tidak ada di dalam senarai dan shuttle pada pukul 9.35 am telah penuh. Mereka menawarkan shuttle pada pukul 8.30 pagi. Aikk…bukankah saya telah memilih masa shuttle semasa saya booked hotel secara online sebelum datang ke sini? Rupanya tetamu perlu confirm/book semula apabila sampai di hotel. Hmm….tak kisahlah. Kami pun dah letih, jadi kami naik ke bilik, bersiap mengemas barang-barang dan terus tidur….zzzz.

Hong Kong - Day 3

Program hari ini ialah ke Victoria Peak dan makan tengahari di Masjid Ammar. Awal pagi kami menaiki train menuju ke Central. Tiba di Central kami keluar dari stesen keretapi, menaiki tram dan turun di Admirality (tolong jangan ikut route kami ni, sebab kami sendiri pun sudah tersilap jalan…hehe). Sepatutnya keluar dari Central, kami cari bas bernombor 15C untuk pergi ke The Peak Tram Lower Terminus yang terletak di Garden Road tetapi bas yang di cari tidak ditemui maka apabila kami ternampak tram, kami terus melompat menaikinya. Saya fikir tram ini akan berhenti di kawasan Garden Road  (station Cotton Tree Drive) tetapi rupanya kami ternaik yang East bound route. Kami turun di Admirality dan mencari jalan menuju ke The Peak Tram Lower terminus. Berpeluh jugalah menapak walaupun cuaca dingin. Waktu kami sampai queue sederhana panjang tetapi ok juga lah kerana hanya kira-kira lima belas minit menunggu, kami telah mendapat tempat untuk menaiki Peak tram menuju ke Victoria Peak. Perjalanan menaiki Peak tram ini kurang dari 10 minit sahaja. 

Peak Tram
Hong Kong

Pemandangan Hong Kong's skyline dari Sky Terrace, Victoria Peak

Hong Kong


Turun dari Victoria Peak kami terus menunggu bas di stesen bas 15C. Tujuannya kami hanya mahu naik bas separuh jalan dan berhenti dimana-mana stesen tram untuk menaiki tram ke Masjid Ammar. Tetapi apa yang terjadi ialah kami asyik terlepas stesen tram. Kesudahannya bas berhenti di stesen terakhir dan kami turun di Star Ferry Terminal…huhu. Alang-alang dah sampai di Star Ferry Terminal, kami terus menaiki ferry dan melupakan hasrat untuk makan tengahari di Masjid Ammar. Kaki saya pun dah berasa lenguh dan sakit pada masa ini.

Hong Kong
Star Ferry

Tiba di Star Ferry terminal Tsim Sha Tsui, kami menuju ke tourist information centre dan bertanya mengenai bas untuk pulang ke hotel. Petugas disitu mencadangkan supaya kami berjalan kaki sahaja kerana jaraknya tidak jauh dalam lima belas minit sahaja. Memang kami sedia maklum boleh berjalan kaki tetapi….sudah tak larat rasanya. Terasa jauh betul dari Star Ferry terminal ke East Tsim Sha Tsui melalui subway. Satu yang saya perasan, di sini sangatlah susah nak jumpa public toilet di laluan subway ini. Boleh dikatakan sepanjang-panjang saya menggunakan laluan subway, saya hanya ternampak satu public toilet, itupun dibahagian sebelah. Kadang-kadang saya ternampak signboard arrow ke toilet tetapi tidak nampak di mana toiletnya…huhu.


Oleh kerana sudah kepenatan, maka petang itu kami hanya tidur, langsung tidak ada rancangan untuk kemana-mana. Selesai solat Maghrib dan Isyak, kami baru terfikir mengenai Ladies Market, jadi kami pun mengorak langkah menuju ke MTR untuk ke Mongkok. Sebaik exit dari stesen Mongkok, kami sudah ternampak kemeriahan di kawasan Ladies market ini. Pelbagai jenis persembahan ada di sini, nyanyian, tarian dan bermacam-macam pertunjukan. Kawasan ini sangat happening, tambahan lagi menjelang perayaan Krismas. Jika anda bercuti ke Hong Kong, anda harus datang ke sini! Harga barang-barang di sini agak mahal, jadi anda mesti pandai tawar-menawar supaya tidak kerugian.

Hong Kong
Pelbagai macam barangan ada di jual di Ladies Market. Jangan lupa untuk tawar menawar di sini. 

Hong Kong - Day 2

Awal pagi kami menaiki MTR untuk pergi ke Ngong Ping 360 cable car. Kami antara yang terawal sampai di stesen Cable Car Tung Chung. Pada mulanya kami jangkakan lawatan ke Ngong Ping ini akan mengambil masa sehingga separuh hari, tetapi nampaknya pukul 11.30 pagi kami sudah kembali ke Tung Chung station (tempat based Cable Car). Semasa kami sampai ke sini, queue untuk mereka yg ingin menaiki cable car sangatlah panjang. Jadi nasihat saya jika anda ingin menaiki cable car, lebih baik beli tiket online (dari website Ngong Ping 360) dan print e –tiket siap-siap, jadi anda tidak perlu membuang masa beratur panjang. Ataupun untuk mengelakkan queue panjang, anda boleh juga menaiki crystal cabin pergi dan balik kerana tidak begitu ramai yang beratur untuk menaiki crystal cabin, ini mungkin disebabkan kerana harganya lebih mahal sedikit dari standard cabin. Di Tung Chung ini juga terletaknya City gate outlet yang menjual pelbagai barangan berjenama.

Hong Kong
Ngong Ping 360 Cable Car

Crystal Cabin




Oleh kerana hari masih awal, maka dari Tung Chung kami menaiki MTR terus ke Central, kemudian menukar laluan train ke Wan Chai untuk pergi ke Masjid Ammar.  

Lokasi Masjid Ammar ni agak ke dalam sikit (bahagian belakang), jadi kena pandai-pandai cari, supaya tidak tersesat lama di sini.

Hong Kong
Masjid Ammar and Osman Ramju


Saya memang excited nak makan Dim Sum halal di sini. Dengar khabarnya Dim Sum di sini sangat enak dan lazat.  Sebaik sampai kami terus menuju ke kantin yang terletak di tingkat 5. Komen saya, Dim Sum di sini biasa-biasa saja. Bila perut sudah lapar dan makanan halal sangat terhad, tentulah kita akan sangat enjoy menikmati dim sum di sini. Oh ya, untuk menikmati hidangan Dim Sum, anda perlu datang di antara pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang sahaja.


Dim Sum

Selepas makan tenghari kami menunaikan solat jamak di sini. Ruang solat wanita terletak di tingkat tiga manakala untuk lelaki pula terletak di tingkat dua.   Selepas keluar dari Masjid ini, kami menaiki tram menghala ke East bound. Apabila sampai di stesen yang paling akhir untuk East bound kami turun dan menaiki tram menghala ke West bound pula. Total perjalanan kira-kira satu jam (anak saya sampai tertidur-tidur dalam tram mungkin sebab boring kot…hehe). Jika ingin melihat Hong Kong tanpa perlu berjalan kaki, maka saya sarankan naiklah tram. Tambangnya sangat murah, hanya HKD 2.30 tak kira berapa jauhpun perjalanan.  Naik dari pintu belakang dan turun dari pintu hadapan. Kami turun di Admirality station untuk mengambil train pulang ke hotel.

Tram

Malam tu kami keluar berjalan-jalan di Avenue of Star. Oleh kerana perayaan Hari Krismas sudah hampir, maka kebanyakan bangunan meriah dihiasi dengan lampu-lampu yang berwarna warni dengan pelbagai design. Suhu pada masa ini sangat sejuk terutamanya apabila di tiup angin laut.  



Pertunjukan "Symphony of Light"


Pada pukul 8.00 malam, kami menyaksikan persembahan lampu (symphony of light). Persembahan ini tidaklah meriah mana seperti yang saya bayangkan. 

Percutian ke Hong Kong - Day 1

Saya sudah hampir terlupa untuk menulis mengenai percutian ke Hong Kong yang dilawati pada akhir bulan Disember 2014. Blog ini pun sudah sangat jarang saya buka. Nampaknya saya sudah mula malas menulis. Harap-harap penyakit malas ini hanya bersifat sementara sahaja. Baiklah, disini saya coretkan secara ringkas pengalaman yang masih saya ingat mengenai percutian ini.

Untuk percutian kali ini, kami hanya pergi bertiga sahaja iaitu saya, suami dan anak bungsu kami. Dua orang anak kami yang lain tidak dapat ikut serta kerana masing-masing sedang sibuk dengan pengajian di universiti. Penerbangan yang kami naiki mendarat di Hong Kong International Airport (HKIA) pada pukul 12.07 tengahari. Suhu pada waktu itu ialah 12o celcius.

Oleh kerana kami telah membuat tempahan hotel direct dari website Regal Kowloon hotel, maka kami telah mendapat complimentary shuttle dari Airport ke hotel pergi dan balik. Jadi selepas mengambil bagasi dan membeli kad Octopus di HKIA, kami terus ke kaunter hotel yang terletak di dalam airport. Petugas di kaunter memeriksa nama kami dan mengeluarkan tiket untuk menaiki shuttle. Di dalam shuttle hanya terdapat enam orang penumpang termasuk kami bertiga. Perjalanan sangat lancar dan mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke Hotel Regal Kowloon yang terletak di Mody Rood, Tsim Sha Tsui.

Semasa mendaftar untuk check-in, pihak hotel memaklumkan bahawa mereka telah mengupgrade bilik kami daripada superior kepada executive disebabkan kami menginap selama empat malam. Dengan bilik eksekutif tersebut, kami mendapat dua katil double bed yang besar dan sangat selesa untuk kami bertiga. Tentulah kami berasa gembira dengan tawaran tersebut tetapi kami perlu menunggu bilik disiapkan kira-kira pukul 4.30 petang. Faktor utama yang membuatkan kami memilih hotel Regal Kowloon ialah kerana keluasan biliknya dan lokasinya yang berhampiran dengan MTR station. Untuk bergerak menggunakan MTR, kami merujuk kepada aplikasi MTR mobile yang kami download dari Google Play store di handphone.

Bilik tetamu di Hotel Regal Kowloon


Pada waktu ini, Hong Kong telah memasuki musim sejuk, jadi waktu siangnya agak pendek. Selesai solat jamak Maghrib dan Isyak kami keluar menaiki MTR menuju ke Jordan untuk ke Temple Street. Temple street ialah tempat membeli belah seperti pasar malam di mana disini banyak terdapat souvenir yang dijual dengan harga yang berpatutan. Semasa kami keluar hujan hanya renyai-renyai, tetapi apabila kami sampai di Temple Street hujan turun dengan lebat sekali. Sepatutnya program pada malam itu kami akan pergi ke Ladies Market selepas selesai di Temple street tetapi di sebabkan oleh hujan lebat yang menyukarkan pergerakan kami, maka selepas membeli sedikit souvenir kami terus balik ke hotel. Sempat jugalah berjalan dari mula sampai hujung pasar malam dan membeli sedikit cenderamata. 


Kami beli character USB ni HKD 50 dapat 12 pieces. Bila bawa balik, satu pun tak boleh di gunakan. Mujur boleh dibuat perhiasan.