Showing posts with label phuket. Show all posts
Showing posts with label phuket. Show all posts

Monday, August 26, 2013

Melancong ke Krabi dan Phuket Dengan Kenderaan Sendiri

Kami mengambil peluang bercuti ke Krabi dan Phuket bersempena perayaan Tahun Baru Cina 2012.

Kami pergi dengan menaiki dua buah kereta, saya dan kakak saya bersama keluarga masing-masing.  Kami bertolak pada hari Jumaat dan bermalam di sebuah rumah Homestay di Changlun sebelum melepasi sempadan pada keesokan harinya.  

Sebaik sampai di Changlun, kami menguruskan pembelian insuran kereta di sebuah kedai runcit di pekan Changlun. Harga insuran untuk sembilan hari hanyalah RM14 sahaja. Kami beli sekali embarkation card yang berharga 50 sen setiap satu (jika minta penjual yang isikan borang, mereka akan kenakan bayaran tambahan 50 sen untuk setiap kad). Memandangkan harga petrol di Thailand lebih mahal, jadi kami penuhkan tangki minyak kereta siap-siap semasa di Changlun.

Homestay yang kami duduki memang terbaiklah sebab selesa dan katil yang disediakan pun mencukupi untuk kami semua.

Pada keesokan harinya, seawal jam 7.00 pagi kami sudah bertolak ke Bukit Kayu Hitam. Waktu itu masih gelap lagi dan kabus sangat tebal (rasa macam memandu di luar negara pulak…hehe..perasan)

Tiba di Imigresen Bukit Kayu Hitam, untuk bahagian Malaysia kami hanya perlu pandu lalu sahaja. Turunkan cermin kereta dan serahkan passport antarabangsa kepada pegawai imigresen untuk discan. Senang dan cepat betul prosesnya.  Selepas itu, menghampiri imigresen Thailand, kereta perlu diparkir di tempat letak kereta dan semua harus turun dari kenderaan dan beratur di kaunter imigresen Thailand. Selesai urusan di sini, semua penumpang kenderaan boleh menunggu di kereta, tetapi pemilik kenderaan perlu pergi ke kaunter kastam untuk menguruskan proses pengimportan kereta. Mereka memerlukan geran kereta original ataupun salinan yang telah disahkan. Di sini akan mengambil masa sedikit. Jika ingin mengelakkan queue panjang, datanglah awal-awal pagi seperti kami...hehe.

Selesai proses ini, pandu kereta di laluan imigresen. Di sini pegawai imigresen akan memberi kita satu salinan borang import kenderaan, simpan borang ini baik-baik untuk dipulangkan semasa keluar dari Thailand nanti.

Kereta yang kami naiki, sedang parking di stesen minyak di Thailand

Mulanya kami bercadang untuk singgah bersarapan pagi di Hatyai, jadi kami pun masuk ke bandar Hatyai. Saya ingatkan Hatyai ni kecil sahaja dan boleh nampak gerai-gerai makanan islam di tepi-tepi jalan, rupanya….mak aih, besar betul bandar Hatyai ni. Nampaknya kalau tidak study dahulu tentang tempat ini, memang tidak ada harapan akan berjumpa restoran halal. Untuk mengelakkan tersesat dan buang masa, jadi kami berpatah balik keluar dari Hatyai dan masuk ke highway 4 untuk ke Patthalung, Trang dan seterusnya ke Krabi.  Di dalam perjalanan, kami singgah di sebuah stesen minyak untuk mengalas perut (makan biskut aja pun), dan membeli sim card prepaid Thailand (Masa ni baru saya terfikir, kenapalah saya tak bungkus saja nasi lemak di Changlun tadi…haihh).  

Kami sampai di Krabi pada pukul 2.30 petang (waktu Thailand lewat satu jam dari Malaysia, kiranya kami sampai pada pukul 3.30 petang waktu Malaysia). Perut pun dah lapar, kami pusing-pusing mencari kedai makanan Islam di sekitar masjid. Pusing-pusing, terjumpalah sebuah kedai yang menjual kuih muih, nasib baiklah pakcik kedai tu boleh berbahasa Inggeris sepatah-sepatah, dia tunjuk ke arah sebuah kedai di seberang jalan. Sebaik kami masuk ke dalam kedai di seberang jalan tu, makcik kedai tu mula speaking Thai dengan kami, haram sepatah pun kami tak faham. Kami belasah bercakap bahasa Melayu siap dengan bahasa isyarat tangan. Makcik tu faham kot kami minta dia buatkan makanan untuk kami, agaknya dia tahu kami kelaparan, dia buatkan nasi goreng siap ada lebihan untuk siapa-siapa yang nak bertambah..hehe. Sepanjang masa kami makan, makcik tu peramah betul berborak dengan kami, dia bercakap bahasa Thai, kami bercakap bahasa melayu... haha. Memang kelakar betul masa tu…hehe.

Selepas makan, kami mula mencari hotel penginapan kami iaitu Sunda resort. Jenuh kami berpusing-pusing mencari tetapi  masih tidak berjumpa. Bila bertanya di satu tempat, orang tu tunjuk ke depan, bertanya di tempat lain pula, orang tu tunjuk ke belakang, ada yang tunjuk ke kiri, ke kanan, ada yang angkat jari tunjuk 4, 5 kilometer (maklumlah bercakap macam ayam dengan itik..hehe), akhir sekali kami bertanya  dengan seorang pemilik restoran (nama restoran tu Md. Mustafa). Kami jangkakan dia mungkin orang dari selatan Thailand, kot-kot dia boleh bercakap bahasa Melayu sikit-sikit. Tak pastilah pulak lelaki ni berbangsa apa, tetapi dia kata “let me show you”, jadi kami pun follow dia ke Sunda resort. Wow… memang tersorok resort ni, kalau tak ada orang yang bawa, mungkin sampai ke malam kami tak jumpa.

Sunda resort


sunda resort, ao nang
Resort ini dipenuhi dengan tumbuhan menghijau

sunda resort, ao nang

Pada pukul 6.30 petang kami keluar ke pekan Ao Nang. Cantik betul pekan ni, deretan kedai-kedainya betul-betul di pesisir pantai Ao Nang. Macam-macam ada di sini. Semasa berjalan-jalan tu saya ternampak signboard Ao Nang Orchid. Apa lagi, kami pun masuk ke restoran ni untuk makan malam (sebab saya tahu resort ni menyediakan makanan halal), tetapi masa nak order tu, saya ternampak perkataan ham burger, ham sandwich dalam menu…alamak, saya dah cuak. Saya panggil pelayan tu, tanya pasal perkataan ham dalam menu, dia kata ham tu merujuk kepada menu ayam. Katanya di restoran mereka semuanya halal. Makanannya sedap, presentable dan harganya agak mahal kalau ikut harga di Thailand, tapi kalau di convertkan ke duit kita, sama macam harga makanan di Malaysia sahaja. Sebelum makanan sampai tu, saya dan suami menempah pakej untuk island hoping dengan Ao Nang Orchid ni. Kami pilih package 4 island.

ao nang town
Suasana malam di Krabi

trip krabi

pancake
Pancake yang banyak di jual di tepi jalan

Keesokan harinya, pukul 8.30 pagi mereka datang menjemput kami untuk aktiviti island hoping. Semuanya berjalan lancar. Saya memang berpuas hati sangatlah dengan perkhidmatan Ao Nang Orchid ni kerana harganya berpatutan, makanannya sedap dan halal, tour guidenya boleh berbahasa Inggeris. Saya perhatikan kebanyakan tour package yang lain menyediakan makanan di dalam kotak polystyrene, tetapi dengan Ao Nang Orchid ni mereka sediakan buffet, siap boleh bertambah lagi jika mahu.  Pulau-pulau yang kami lawati sangatlah cantik, tidak perlulah saya describe, tengok sahaja gambar-gambar di bawah ni…

phra nang cave
Phra Nang Beach

chicken island, krabi
Snorkeling di Chicken Island


long tail boat krabi
Long tail boat

poda island, krabi
Poda Island

tub island, krabi
Tub Island. Jernih sungguh airnya

tub island, krabi
Tub Island

krabi thailand
Ikan-ikan di Poda Island

Empat pulau yang kami kunjungi ialah, Phra Nang beach, Chicken Island, Tub Island dan Poda Island. Puas mandi-manda di setiap pulau yang kami singgahi sehingga penat betul. Pukul 2.30 petang kami sudah pulang ke resort. Malamnya kami sambung pula dengan aktiviti shopping di pekan Ao Nang.


Hari ketiga di Thailand, pada pukul 9.00 pagi kami memulakan perjalanan ke Pulau Phuket. Kami bungkus makanan dari Krabi dan bercadang untuk berkelah dan mandi-manda di pantai Patong sambil lepak-lepak sementara menunggu malam untuk melihat keindahan pulau Phuket diwaktu malam.  Hampir dua jam perjalanan, kami sampai di Phuket. Pemandangan di sepanjang perjalanan memang cantik kerana banyak bukit bukau dan gunung ganang. Memasuki Pulau Phuket, kami terus menuju ke bandar Patong. Wah, besar betul bandar Patong ni rupanya. Ternampak sebuah masjid, jadi kami berhenti untuk bersolat, sementara menunggu kami-kami yang perempuan ni bersiap, yang lelaki sempat minum air di sebuah restoran Melayu kepunyaan rakyat Malaysia.  Kami meneruskan perjalanan ke pantai Patong. Sebaik sahaja sampai di pantai Patong, kami terkejut besar. Mak aih…..padat betul pantai ni dengan mat saleh-mat saleh yang sedang berjemur. Langsung tiada ruang untuk berkelah…haha. Ingatkan macam pantai di PD, boleh bentang tikar di mana-mana sahaja di bawah pokok. Rupanya pantainya terbuka luas, lapang begitu aja dan dipenuhi dengan kerusi yang bersusun-susun digunakan untuk mereka berjemur. Rasanya mencecah ribuan mat salleh yang sedang berjemur pada waktu itu.

phuket
Pemandangan semasa di dalam perjalanan ke Pulau Phuket

phuket
Lagi pemandangan semasa di dalam perjalanan ke Pulau Phuket

trip phuket
Di satu kawasan rekreasi di dalam perjalanan ke Pulau Phuket

patong beach, phuket
Di Pantai Patong

Tiada pilihan, kami tempah 4 kerusi dengan harga RM10 per kerusi untuk tempoh sepanjang hari. Kami pun buka bekalan makanan yang kami bawa dari Krabi, rasa macam pelik pulak, segan pun ada sebab ada mat saleh yang pandang-pandang, tengok kami makan. Rasa sakit mata pun ada sebab tertengok mat saleh yang top less, dan kebanyakannya badan dah out of shape (sorrylah mengutuk sikit kat sini...ngee). Dengan cuaca yang sangat panas dan padat dengan manusia, mood nak mandi terus termati. Akhirnya selesai sahaja makan, kami balik ke kereta. Rasa rugi juga sebab sewa kerusi sejam sahaja instead of sehari. Di Phuket ni banyak bar dan pusat hiburan, sememangnya cantik dan berwarna-warni jika berkunjung ke sini di waktu malam.

Awal petang kami dah keluar dari Phuket. Dalam perjalanan balik, kami singgah di premium outlet yang menjual barangan berjenama seperti nike, adidas, reebok, etc. Selesai membeli-belah di sini, kami menuju ke Siam Niramit yang menganjurkan pertunjukan kebudayaan. Kata suami saya, pertunjukkannya bertaraf world class. Dia pernah menontonnya sewaktu berkunjung ke Bangkok dahulu. Tak rajin pula saya nak describe pasal Siam niramit ni, tetapi memang berbaloilah dengan harga tiket yang dibayar. Untuk makluman, Siam Niramit cawangan Phuket ni baru sahaja dibuka, jadi serba-serbi memang baru dan selesa. Jika nak tahu lebih lanjut, tanyalah pada pakcik google ya. Selesai tayangan di Siam Niramit pukul 10 malam kami bertolak balik ke Krabi. Jalanraya lenggang betul. Kami sampai di Krabi pukul 12.30 pagi. Dalam perjalanan, saya ternampak ada seorang perempuan menunggang motosikal sendirian. Saya rasa jalan di Thailand ni memang selamat kot.

siam niramit phuket
Sedang membeli tiket di Siam Niramit, Phuket

Hari terakhir di Krabi, kami bershopping di pekan Ao Nang dari pagi sehingga tengahari. Sedar-sedar perut pun dah lapar, jadi kami singgah makan di sebuah restoran. Kami minta dua ekor ikan sweet sour, tetapi tukang masak telah tersilap membuat satu darinya masakan ikan tiga rasa. Rasa masakannya memang sedap, rupanya tukang masaknya pernah menjadi tukang masak di Malaysia, patutlah rasa ikan tiga rasanya macam biasa di rasa (berapa banyak rasa daaa…haha). Sebenarnya saya nak kata, kalau datang ke Krabi lagi,  saya akan singgah makan di sini lagi…hehe.

Selesai makan, kami singgah bersolat di masjid Ao Nang sebelum bertolak balik pada pukul 2.30 petang. Kami sampai di imigresen Sadao pada pukul 7.30 petang. Ingatkan nak bermalam di Bukit Merah, tetapi disebabkan kepenatan, kami  memilih untuk bermalam di sebuah homestay di Changlun. Kami agak kecewa kerana homestay yang kami pilih ini tidak sebaik homestay yang kami sewa semasa di dalam perjalanan pergi ke Thailand.

Percutian ke Krabi memang menyeronokkan. Ada banyak tempat yang belum kami lawati seperti ke pusat Gajah, Emerald Pool, hotspring dan juga package island hoping yang lain. Insya Allah, jika ada rezeki saya memang bercadang untuk ke Krabi lagi.