Friday, September 27, 2013

Jalan-Jalan di Cameron Highlands

Cameron Highlands merupakan destinasi percutian favourite saya sekeluarga. Boleh dikatakan hampir setiap tahun kami akan mengunjungi Cameron Highlands untuk berehat sambil menikmati cuaca dingin. Selalunya apabila ke sini, kami akan menginap di apartment Equatorial yang terletak di Brinchang. Tempat ini memang sejuk terutamanya apabila hujan atau ditiup angin pada waktu pagi ataupun petang/malam.

equatorial apartment


Banyak tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati di sini antaranya ialah seperti Ladang Teh Boh di Sungai Palas. Laluan untuk ke Ladang Teh Boh di Sungai Palas ini agak mencabar namun memang berbaloi kerana pemandangan ladang teh di sini begitu indah. Bagi saya sekeluarga, cukuplah kami pergi ke sini setakat sekali sahaja, tidak sanggup rasanya untuk meredah laluan yang sempit dan menggerunkan...tobat rasanya...hehe.


ladang teh boh sungai palas
Ladang Teh Boh Sungai Palas


ladang teh boh sungai palas


ladang teh boh sungai palas
Add caption

Gambar di bawah ini pula ialah pemandangan di ladang teh Bharat. Ladang teh ini terletak di tepi jalan sahaja dan untuk sampai ke ladang teh juga begitu mudah, seseorang hanya perlu menuruni tangga, sudahpun boleh memegang daun teh dan tentunya..….boleh bergambar sakan untuk dijadikan kenangan…hehe. 

ladang teh bharat
Ladang teh Bharat...cantikkan!


Menikmati hidangan teh dan scone


Di kedua-dua ladang teh ini anda boleh menikmati keindahan ladang teh sambil juga menikmati hidangan teh dan scone. 

Di Cameron Highland juga terdapat banyak ladang-ladang strawberry yang dibuka kepada pengunjung untuk dipetik sendiri. Biasanya kami sekeluarga tidak melepaskan peluang untuk memetik strawberry di ladang Agro Al-Mashoor yang terletak di Taman Sedia. Selepas dipetik, strawberry ini boleh di makan segar bersama dengan coklat yang dijual disini. Hmm...sedapnya.


taman agro almashoor
Ladang strawberi di Taman Agro Al-Mashoor




Jika anda penggemar pokok kaktus, anda patut singgah di Cactus point yang terletak kira-kira 500m dari Kea farm. Ada pelbagai jenis pokok kaktus yang dijual di sini. 



Antara tempat lain yang menarik untuk dikunjungi ialah ke Agro Technology Park, Mardi yang terletak di Tanah Rata. Di sini terdapat pelbagai jenis bunga-bungaan yang berwarna warni. Selain dari itu, terdapat juga pokok buah-buahan dan sayur-sayuran. Bila bercakap tentang bunga-bungaan yang berwarna-warni ini, pada pendapat sayalah, di tempat-tempat awam di kawasan tanah tinggi ini masih kurang ditanam dengan bunga-bunga. Dengan cuaca dingin yang sesuai untuk bunga-bunga berkembang sepanjang tahun, alangkah baiknya jika lebih banyak bunga-bunga ditanam di tempat-tempat awam. Sewaktu saya berkunjung ke Hangzhou dan Shanghai pada musim bunga, saya lihat di kiri kanan jalan raya berwarna-warni dengan bunga-bunga dan taman-taman kecil. Malahan sepanjang perjalanan ke airport dari Westlake, saya terpesona melihat di kiri kanan jalanraya padat dengan bunga-bunga ros sehinggakan harumannya dapat dihidu oleh kami yang sedang berada di dalam sebuah kenderaan yang sedang bergerak laju. Saya tahu ada banyak ladang bunga di Cameron Highlands, tetapi tempatnya bukanlah terbuka dan dapat dilihat dengan mudah. Jika Cameron Highlands di penuhi dengan bunga-bunga di mana-mana, tentu ia akan menarik lebih ramai pelancong untuk ke sana kerana warna-warni bunga-bunga yang sedang berkembang memberikan satu suasana yang berbeza dari tempat biasa. Saya berharap pada masa akan datang, lebih banyak bunga-bunga akan ditanam di mana-mana sahaja (ya…dimana-mana sahaja) di Cameron Highlands.


agro technology park, mardi
Agro Technology Park, Mardi

Kaktus pun ada di sini


Kaktus lagi..


Bunga ros juga banyak di tanam di sini


Ni mesti dah banyak kes tangan yang gatal menconteng buah sampai keluar amaran ni...hehehe

agro technology park, mardi


agro technology park, mardi


Jangan lupa juga berkunjung ke pasar malam di Brinchang. Banyak jenis makanan dan cenderamata dijual di sini tetapi selalunya..…sesakkk betul dengan orangramai. Setiap kali datang ke Cameron Highlands, saya memang "gila" melihat sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang dijual di sini. Biasanya saya akan singgah membeli di Kea farm yang terletak berdekatan dengan hotel Equatorial. Tentulah saya akan memborong untuk dibawa balik (masak atau tidak, itu belakang kira, yang penting mesti beli…hehe).

Friday, September 20, 2013

Cuti-Cuti PD

Bersempena dengan cuti umum hari Malaysia baru-baru ini, saya sekeluarga turut sama menyesakkan lebuhraya utara selatan menuju ke Port Dickson. Saya nampak ada perubahan yang menarik di PD sekarang, seperti pembangunan PD Waterfront yang cantik dan moden. 



Port Dickson
Jalanraya di kawasan Tentera darat berwarna merah dan bersih 


Oleh kerana PD ni tidaklah berapa jauh dari rumah saya (tak jauh-tak jauh pun dalam satu jam jugaklah), jadi entah kali keberapa saya pernah bermalam dan menginap di sini termasuklah di PD water chalet, Corus Paradise, Selesa Beach dan lain-lain, tetapi untuk entry ini saya memilih untuk menulis tentang PD Ancasa. Untunglah PD Ancasa sebab saya pilih untuk review hotel ni (Apa? ... Untung kata kau? Hello...hello, jangan nak perasan ek. Saper aje pun yang rajin melawat blog ni kalau bukan diri sendiri...haha). Saya pilih PD Ancasa sebab dia ada taman yang besar dan cantik (aaaa?...). Jom lihat gambar-gambar yang saya ambil di sekitar resort ini.


PD ancasa
Add caption


PD ancas
Taman yang berkonsep Bali

pd ancasa


pd ancasa port dickson


pd ancasa port dickson
Add caption

Bilik tidur....biasa-biasa saja


Ruang tamu ...pun biasa-biasa

Dapur....tak guna pon.

Apa yang kami buat di sini?

- Singgah sekejap di pantai teluk kemang
- Makan-makan di Medan ikan bakar MPPD 
- Melawat muzium tentera darat


pantai teluk kemang
Pantai Teluk Kemang (ambik gambar dari jauh saja sebab malas nak pijak pasir punya pasal...haha. 
Dah tu tak reti-reti nak zoom kamera? Ala...sorrylah...terlupa daa...)

pantai teluk kemang port dickson
Cantik jugak pantai Teluk Kemang ni....


pantai teluk kemang port dickson
Sesiapa yang rajin, boleh berkhemah di sini

Makan seafood di medan ikan bakar MPPD

muzium tentera port dickson
Muzium tentera darat..rugi woo siapa tak datang sini, entrance free saja.


muzium tentera port dickson
Sorry gambar gelap. Dilarang menggunakan flash di sini


muzium tentera port dickson


Ini sajalah entry tentang PD yang tak seberapa ni....sekadar coretan biasa...





Friday, September 13, 2013

Pengalaman Umrah 2013


Alhamdullilah. Saya dan suami telah dijemput menjadi tetamu Allah pada akhir bulan Mac 2013. Disini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman mengerjakan umrah selama 15 hari/13 malam. 

Kami berlepas dari KLIA dengan pesawat Saudi Airlines pada pukul 3.00 petang dan mendarat di Madinah pada pukul 10.30 malam waktu Arab Saudi. Cuaca di Madinah agak dingin dan berangin. Sejurus tiba di Madinah, kami dibawa ke hotel yang terletak kira-kira 200 meter dari masjid Nabawi. Oleh kerana hari sudah malam, maka aktiviti ziarah ke Masjid Nabawi dimulakan pada keesokan hari. 

Selepas bersarapan pagi, kami dibawa oleh seorang ustazah ke Masjid Nabawi untuk memasuki Raudhah. Raudhah ialah satu kawasan di dalam Masjid Nabawi yang terletak diantara mimbar dan makam Baginda Rasulullah SAW. Ruangan Raudhah ini kecil sahaja dan ditandakan dengan karpet berwarna hijau. Terdapat hadis yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah SAW bahawa Raudhah merupakan satu daripada taman-taman syurga dan tempat mustajab untuk berdoa.


Untuk memasuki kedalam Raudhah ini, bagi jemaah wanita, mereka akan diasingkan mengikut negara misalnya satu bahagian untuk negara Turki, satu bahagian untuk negara Pakistan dan lain-lain. Untuk jemaah dari negara Malaysia pula, mereka akan diletakkan bersama dengan jemaah dari negara Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura. Polis wanita yang bertugas di masjid akan membenarkan jemaah dari negara-negara lain dahulu masuk ke dalam Raudhah berperingkat-peringkat sehinggalah tiba giliran untuk jemaah dari negara Malaysia (dan negara dalam kumpulan ini) yang paling akhir. Makam Baginda Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar (RA) dan Saidana Umar (RA) terletak bersebelahan dengan Raudhah ini. Alhamdullilah, saya dipermudahkan dapat menunaikan solat dan berdoa dengan selesa walaupun saya join jemaah dari Turki (ini kes sudah tidak sabar ni…hehe). 



Jemaah wanita tidak dibenarkan membawa kamera atau telefon bimbit berkamera masuk kedalam masjid, jadi saya tidak dapat mengambil gambar di dalam masjid Nabawi. Oh ya, untuk memasuki ke Raudhah ni, bagi Jemaah wanita, hanya tiga waktu yang dibuka iaitu selepas subuh sehingga jam 10 atau 11 pagi, selepas zohor sampai jam 3.00 petang dan selepas isyak sehingga pukul 11 malam. Ini adalah kerana kawasan Raudhah ini sebenarnya merupakan ruang solat untuk jemaah lelaki, jadi mereka akan menutup kawasan ini apabila hampir waktu solat untuk digunakan oleh jemaah lelaki. Bagi Jemaah lelaki pula, mereka bebas untuk masuk ke Raudhah pada bila-bila masa. 


Masjid nabawi
Makam Baginda Rasulullah, Saidina Abu Bakar (RA) dan Saidina Umar (RA)


masjid nabawi
Dataran Masjid Nabawi yang cantik


masjid nabawi
Perkuburan Baqi yang menempatkan kubur para syuhada, kaum keluarga dan sahabat-sahabat Baginda Rasulullah SAW






Semasa di Madinah kami telah dibawa menziarahi ke Masjid Quba yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Masjid Nabawi. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina oleh orang Islam dan merupakan masjid yang keempat paling suci selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Telah diriwayatkan bahawa Baginda Rasullulah SAW pernah bersabda iaitu sesiapa yang mendirikan solat di Masjid Quba akan diberikan ganjaran pahala sama seperti menunaikan umrah. 


masjid Quba Madinah
Masjid Quba



Selesai urusan di Masjid Quba, kami dibawa pula menziarahi ke bukit Uhud. Dikatakan bahawa bukit Uhud juga merupakan satu daripada bukit dari syurga, yang mana selepas hari kiamat nanti, bukit ini akan diangkat kedalam syurga kembali (ini apa yang diterangkan oleh mutawif kami). 


bukit uhud madinah
Bukit Uhud (abaikan gambar mamat yang tiga orang tu...hehe)


Berlatar belakangkan sebahagian dari Bukit Uhud

bukit uhud di Madinah
Bukit memanah yang terletak bersebelahan bukit Uhud
Selepas itu kami berkunjung pula ke kebun kurma untuk melihat, merasai atau membeli kurma. Berbagai-bagai jenis kurma dijual di sini dan kesemuanya dihasilkan dari kebun itu sendiri. Saya tidak membeli kurma di sini kerana harganya agak mahal berbanding dengan harga di pasar kurma. 


pasar kurma
Pasar Kurma

Selain daripada aktiviti ziarah, kami menggunakan masa yang ada untuk beribadat di Masjid Nabawi. Biasanya kami bangun awal pagi (seawal jam 3.30 atau 4.00 pagi) untuk bersolat subuh di Masjid Nabawi (waktu Subuh disana masuk awal biasanya sekitar pukul 5.00 pagi). Di dalam perjalanan pulang ke hotel biasanya kami akan singgah untuk membeli belah di kedai-kedai yang banyak terdapat di sekitar Masjid Nabawi (sudah semestinyalah kan, kalau tak shopping tak sah…hehe). Pada pandangan saya, jubah-jubah di Madinah lebih cantik dari yang dijual di Mekah. 

Pada hari keempat kami bertolak dari Madinah menuju ke Mekah dengan menaiki bas. Jemaah lelaki telah siap mengenakan pakaian ihram sejak dari hotel. Perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam. Bas yang kami naiki berhenti di Masjid Bir Ali untuk membolehkan para jemaah menunaikan solat sunat ihram 2 rakaat dan bermiqat (menjatuhkan niat ihram). Selepas bermiqat kami perlu menjaga larangan sehingga selesai bertahallul untuk mengelakkan daripada dikenakan dam. 

masjid bir ali
Masjid Bir Ali

Perhentian kami seterusnya ialah di sebuah kawasan rehat bagi tujuan makan malam. Banyak rombongan jemaah daripada pelbagai negara lain yang turut berhenti di sini. Kami hanya perlu duduk menunggu makanan disediakan untuk kumpulan kami. Semuanya telah diaturkan oleh pihak agensi. Cuma di sini, tandasnya tidak banyak untuk menampung jumlah pengunjung yang ramai dan keadaannya juga tidak berapa terurus berbanding dengan keadaan R&R di negara kita. 

Kawasan rehat R & R, tempat kami berhenti untuk menikmati makan malam
Setiba di Mekah, selesai sahaja urusan check-in di hotel dan membersihkan diri, Mutawwif terus membawa kumpulan kami ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah kali pertama. Waktu kami turun dari hotel jam telah menunjukkan pukul 12.30 tengahmalam. Sebaik menghampiri Kaabah di kawasan hajarul aswad, kami melaksanakan rukun pertama iaitu berniat untuk tawaf sebelum memulakan tawaf. Rukun kedua ialah tawaf sebanyak tujuh kali mengelilingi Kaabah. Keadaan agak sesak masa itu kerana jemaah lain yang baru sampai ke Mekah juga turut sama seperti kami melakukan tawaf. Selepas selesai tawaf, kami mencari ruang kosong dihadapan makam Ibrahim untuk menunaikan solat sunat. Kemudian kami melaksanakan rukun umrah ketiga iaitu bersaie. Bersaie ialah berjalan kaki berulang-alik dari Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Setelah berakhir pusingan ketujuh di Marwah, kami melaksanakan rukun keempat iaitu bertahallul dengan menggunting sekurang-sekurangnya tiga helai rambut. Dengan tertib yang telah kami lakukan, maka lengkaplah umrah kami pada malam itu, semoga diterima oleh Allah SWT, Insya Allah. Sewaktu kami siap bertahallul, azan Subuh pun berkumandang, jadi kami terus solat subuh sebelum pulang ke hotel. 

mekah
Keadaan di Kaabah sewaktu kami sampai padat dengan jemaah

saie masjidil haram
Saie dari Safa ke Marwah

Semasa berada di Mekah, kami telah dibawa menziarahi ke Jabal Nur, Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Muzdhalifah dan Padang Arafah. Bas yang kami naiki juga melalui kawasan perkhemahan di Mina, Jamarat (tempat melontar), Masjid Jin dan akhirnya singgah di Ja’aranah untuk bermiqat kepada sesiapa yang ingin membuat umrah kali kedua. 

jabal tsur
Jabal Tsur

jabal rahmah
Jabal Rahmah yang juga dikenali dengan nama bukit kasih sayang kerana di sinilah Nabi Adam a.s bertemu semula dengan isterinya Hawa setelah sekian lama terpisah.

mina mekah
Perkhemahan di Mina

Pada hari lainnya pula kami dibawa menziarahi ke Muzium Dua Masjid dimana di sini kita boleh melihat koleksi barang-barang lama yang pernah digunakan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Selepas itu kami dibawa ke ladang ternakan unta untuk melihat unta dengan lebih dekat dan merasai susu unta yang masih segar. Akhir sekali kami dibawa ke Hudaibiyah, tempat di mana berlakunya perjanjian Hudaibiyah diantara Baginda Rasulullah SAW dengan pihak musyrikin. Di situ juga terdapat masjid untuk bermiqat kepada sesiapa yang ingin menunaikan umrah lagi. 

mekah
Ladang ternakan unta

mekah
Muzium dua masjid

Pada hari-hari lainnya, kami menghabiskan masa dengan beribadat di Masjidil Haram, membeli-belah serba sedikit dan menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh pihak agensi di hotel penginapan. 

mekah
Pasaraya yang terletak didalam bangunan Abraj Al bait, betul-betul di hadapan Masjidil Haram

Hari terakhir di Madinah, kami melaksanakan tawaf wida (tawaf selamat tinggal) pada pukul 10.00 pagi. Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar. Selepas tawaf wida kami hanya duduk berehat di hotel sementara menunggu pukul 2.00 petang untuk menaiki bas yang akan membawa kami ke lapangan terbang Jeddah. Di dalam perjalanan bas berhenti di sebuah kawasan rehat di Laut Merah. Di sini terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai masjid terapung. Kami sempat menunaikan solat sunat di masjid ini. 


mekah dan madinah
Masjid terapung di Laut Merah

Kami menaiki pesawat Saudi Airlines yang berlepas pada pukul 11.00 malam dan mendarat di KLIA pada pukul 1.00 tengahari, 2 April 2013. 

Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan di sini (untuk kaum wanita) antaranya seperti: 

  • Lebihkan membawa mini telekung, kerana biasanya kita hanya bersolat dengan memakai mini telekung atau telekung bahagian atas sahaja bersama jubah, sarung tangan dan stokin. Untuk pengetahuan, di sana mini telekung banyak dijual dengan harga 10 riyal sahaja (dalam lingkungan RM8.50..hehe) 
  • Pakaian – Bawa jubah (warna putih dan hitam) secukupnya. Semasa di sana, pakaian jubah yang paling praktikal. Jubah memang banyak dijual, cuma takut saiznya tidak ada yang boleh dipakai terus. 
  • Bawa stokin dan sarung tangan secukupnya (pun melambak ada dijual disana dengan harga yang jauh lebih murah dari di sini ;-) 
  • Bawa gunting semasa bersaie supaya boleh terus bertahallul sebaik selesai bersaie. 
  • Bawa sejadah kecil atau sejadah biasa, kerana jika solat di dataran, boleh bentangkan sejadah untuk menjaga kebersihan. 
  • Bawa buku-buku agama dan doa, mungkin boleh dibaca semasa beriktikaf di masjid. 
  • Bawa uncang kasut bila ke masjid supaya kita boleh menyimpan kasut bersama kita (jadi mudah bila kita hendak keluar, tidak perlu tercari-cari kasut di rak kasut). 
  • Bawa ubat-ubatan biasa dan antibiotic secukupnya. Semasa di sana saya terpaksa membeli antibiotic dari farmasi, harganya boleh tahan mahal. 

  • Barang-barang keperluan lain yang difikirkan perlu seperti charger handphone, ketip kuku, toiletries, pakaian (mengikut cuaca di sana) dan lain-lain keperluan peribadi.