Showing posts with label Universal Studio Singapore. Show all posts
Showing posts with label Universal Studio Singapore. Show all posts

Tuesday, October 14, 2014

Universal Studios Singapore

Untuk trip ke Universal Studio Singapore (USS) ini kami mengambil pakej dari Puteri Pacific Hotel, Johor Bahru. Harga yang ditawarkan ialah RM 343.00 per pax (untuk dewasa) yang mana pakej termasuk penginapan untuk bilik berdua dan bilik bertiga (dua buah bilik), sarapan pagi di hotel, tiket universal studio dan bas pergi dan balik dari hotel ke Universal studio vice versa. Untuk penginapan pada malam berikutnya kami hanya perlu membayar harga bilik sahaja.

Kami dikehendaki untuk menunggu di lobi hotel pada pukul 8.00 pagi. Oleh kerana terdapat beberapa buah keluarga yang mengisi kad embarkation pada pagi tersebut maka kami terpaksa menunggu dan setelah siap semuanya, bas mula bertolak pada pukul 8.30 pagi. Saya sangkakan masuk ke Singapura ini mudah sahaja, maklumlah jaraknya dekat sahaja. Dari bilik hotel pun boleh nampak Singapura dengan jelas. Paling-paling pun mungkin satu jam kami sudah berada di USS. Rupanya telahan saya silap. Jalanraya jem teruk, bas bergerak sangat perlahan. Perhentian pertama ialah di bahagian imigresen Malaysia dimana semua penumpang perlu turun dan menuju ke kaunter untuk melalui Sistem Pengesahan Biometric. Selesai proses di sini, turun di platform A dan menaiki semula bas yang sama.

Selepas itu bas meneruskan perjalanan untuk ke bahagian imigresen Singapura pula. Jem masih teruk. Seperti tadi, sebaik turun dari bas masing-masing bergegas menuju ke kaunter imigresen. Ramai sungguh orang beratur di sini. Untuk melepasi kaunter imigresen ini mengambil masa satu jam. Selesai urusan, kami turun untuk menaiki bas semula. 

Tiba di USS jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Pemandu bas berpesan supaya berada di dalam bas semula pada pukul 6.45 petang. Nampaknya kami sudah kerugian masa selama dua jam (USS di buka dari jam 10.00 am – 7.00 pm).  Pengunjung tidaklah berapa ramai pada hari tersebut kerana kami datang pada hari bekerja (Isnin) tetapi memandangkan masa yang terhad maka kami pergi ke kaunter untuk mengupgrade tiket ke Universal Express. Dari maklumat yang saya baca di internet harga untuk upgrade ke tiket Universal Express ialah SGD 30 per pax tetapi petugas kaunter memaklumkan bahawa harga utk upgrade tiket telah dinaikkan ke SGD 50 per pax. Bermakna untuk lima orang kami perlu membayar sebanyak SGD 250. Mahal jugak tu! Rasa macam rugi juga sebab kalau nak beratur rasanya tidaklah terlalu lama, tetapi memikirkan kami bukan selalu datang ke sini dan kami ingin menaiki semua rides yang ada, maka kami setuju untuk mengupgrade ke tiket Universal Express. Dengan tiket ini, kami akan mendapat priority untuk menaiki semua rides  kerana ada laluan khas untuk pemegang tiket Universal Express. Tetapi tiket ini hanya membolehkan kami menaiki semua rides sekali sahaja, selepas itu jika kami ingin menaiki semula kami terpaksa beratur di laluan biasa. Di USS terdapat 16 rides kesemuanya.

Daripada 16 rides tersebut kami dapat menaiki 10 rides sahaja. Roller coaster Cyclon dan Human Battlestar Galactica yang menjadi tarikan utama di bahagian Sci-Fi City pula telah ditutup. Rides yang lain pula ada yang ditutup sementara kerana mengalami masalah teknikal dan selebihnya rides yang hanya sesuai untuk anak-anak kecil.



USS


Saya dah sampai ke Sesame Street. Anda bila lagi?…hehe





USS





USS





USS







Daripada kesemua rides yang ada di sini, pada pendapat saya, Transformers ride merupakan permainan yang terbaik. Bila masuk ke dalam permainan ini kita seperti berada betul-betul di dalam dunia robot. Saya rasa orang yang merekacipta permainan ini memang sangat hebat! Jika anda datang ke sini, pastikan anda TIDAK melepaskan peluang menaiki permainan ini.

Revenge of the Mummy pula merupakan roller coaster high speed yang agak menakutkan bagi saya. Mujurlah keadaan dalam tu gelap, dan disebabkan ketakutan, maka hampir sepanjang ride saya menutup mata. Sudahlah gelap tutup mata pula...memang saya tak nampak apalah...








Kami sempat menyaksikan Live Water show (di bahagian The Lost World) pada pukul 4.00 petang. Boleh tahan hebatnya persembahan stunt mereka. Jika anda berhasrat untuk melihat pertunjukan-pertunjukan yang diadakan di USS ini, sila rujuk kepada jadual waktu di flyer.

Selepas menyaksikan Live water show, suami dan anak-anak saya menaiki Revenge of the Mummy semula. Saya dah tak sanggup naik lagi dan  lebih rela menawarkan diri untuk menjaga semua barang-barang…hehe.

Pada pukul 5.00 petang ke atas, waktu menunggu kebanyakan rides telah menjadi pendek maka kami beratur untuk menaiki Transformers ride sekali lagi. Masih belum puas rasanya. Rasa ingin mengulang untuk kali ketiga, tetapi takut ketinggalan bas pula nanti.

Sekiranya anda berasa lapar semasa berada di sini, jangan bimbang kerana terdapat lima buah restoren halal di dalam USS ini. Surau pula terletak dibahagian Ancient Egypt.  Surau ini kecil sahaja dan hanya boleh memuatkan kira-kira 7 orang jemaah pada satu-satu masa (untuk bahagian perempuan, mungkin bahagian lelaki pun sama juga kot). 

Tepat pukul 7.00 petang bas bertolak balik ke hotel. Proses keluar dari Singapura sama seperti proses memasuki pada pagi tadi cuma lebih cepat selesai.