Showing posts with label Kundasang. Show all posts
Showing posts with label Kundasang. Show all posts

Tuesday, August 6, 2013

Kota Kinabalu dan Kundasang

Kami tiba di lapangan terbang Kota Kinabalu pada pukul 1.30 tengahari. Selepas mengambil beg, kami terus menuju ke pejabat Avis untuk mengambil kereta sewa yang telah kami tempah secara online.

Dengan kereta sewa, kami terus memandu menuju ke Kundasang berpandukan GPS. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam. Kami sempat singgah di beberapa tempat menarik disepanjang perjalanan. Semasa di Kundasang, kami menginap di Kinabalu Pine Resort. Pemandangan di dalam resort ini begitu cantik kerana ianya dipenuhi dengan pokok-pokok pine yang subur menghijau. Terdapat juga banyak bunga-bungaan yang cantik dan berwarna-warni ditanam di sini kerana cuacanya agak sejuk dan nyaman. 

Disebabkan cuaca dingin dan hujan gerimis, ditambah lagi dengan hari yang cepat gelap, maka selepas pukul 6.00 petang kami sudah tidak ke mana-mana, melainkan menikmati hidangan makan malam di resort ini. Makanan yang dihidangkan boleh tahan sedap rasanya.


pine resort kundasang
Di dalam kawasan resort


Pine resort kundasang
Pemandangan di dalam resort

gunung kinabalu
Gunung Kinabalu yang dilitupi kabus

Keesokan harinya kami berkunjung ke Poring Hot Spring, berjalan-jalan di kawasan sekitarnya dan sempat juga merendamkan kaki ke dalam kolam air panas.


poring hot spring kundasang
Poring Hot Spring

Kami juga melawat ke Taman Negara Kinabalu sambil memandu dan berhenti di beberapa tempat menyaksikan keindahan Gunung Kinabalu yang sedikit terlindung oleh kabus pagi.

Pada mulanya kami bercadang untuk melawat Mesilau Dairy Farm tetapi nampaknya tidak berkesempatan memandangkan tempatnya agak jauh dan kami perlu check-out dari hotel untuk pulang ke Kota Kinabalu. Untuk perjalanan menuju ke Kota Kinabalu, kami memilih laluan jauh kerana kami bercadang untuk singgah di Pusat Penerangan Rafflesia di Tambunan. Jauh betul perjalanannya sehinggakan saya tertidur beberapa kali sepanjang perjalanan. Kami menempuhi jalan yang bengkak bengkok  dikelilingi oleh hutan tebal, kadang-kadang mendaki dan ada juga bahagian-bahagian jalannya yang memang tidak sempurna. Namun begitu apa yang menariknya ada beberapa kawasan yang kami lalui diseliputi oleh kabus tebal. Kami menurunkan cermin tingkap kereta untuk merasai kabus dan udara yang sejuk, malahan kami juga singgah sebentar di tepi jalan untuk mengambil gambar di dalam kabus tebal tersebut.


Kabus tebal di beberapa kawasan didalam perjalanan ke Kota Kinabalu

Setibanya kami di Pusat Penerangan Rafflesia, suasana agak sunyi kerana nampaknya hanya keluarga kami sahaja yang mengunjungi tempat tersebut pada masa itu. Kami jangkakan dapat melihat bunga Rafflesia dengan mudah, rupanya kami terpaksa menempah seorang guide untuk membawa kami ke dalam hutan bagi melihat bunga tersebut. Kami sampai pada waktu rehat tengahari, jadi guide yang bertugas pun tiada pada masa itu. Oleh kerana cuaca panas terik, kelaparan dan agak keletihan disebabkan oleh perjalanan jauh, kami tidak jadi melihat bunga rafflesia dan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.

Di Kota Kinabalu kami menetap di hotel Promenade. Hotel ini terletak berdekatan dengan tempat-tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu. Dari sini kami hanya berjalan kaki untuk ke Pasar Filipina yang banyak menjual barang-barang kemas seperti keronsang dan rantai berasaskan mutiara dan kristal. Terdapat juga pelbagai jenis cenderamata lain dijual di sini. Restoran makanan laut juga banyak terdapat  berhampiran kawasan ini. Biasanya kami akan berjalan kaki untuk menikmati makanan laut yang terletak di belakang pasar ini.

Keesokan harinya, kami menghabiskan separuh hari beriadah di Pulau Manukan.


Di Pulau Manukan

Pada sebelah petangnya kami hanya menghabiskan masa bersiar-siar di sekitar bandar Kota Kinabalu. Tidak lupa juga kami memborong hasil laut di sini kerana harganya jauh lebih murah dari di semenanjung. Jika ada peluang, saya ingin mengulangi lawatan ke Sabah kerana banyak tempat-tempat menarik yang belum di lawati di negeri ini.