Friday, February 26, 2016

Langkawi 2016

Kami pergi ke Langkawi pada cuti Hari Raya Cina 2016. Seperti biasa, last minute baru terfikir untuk pergi bercuti dan sibuk mencari bilik hotel. Kami buat keputusan untuk bercuti ke Pulau Langkawi dan mula mencari bilik hotel. Boleh dikatakan kebanyakan hotel telah penuh kecuali hotel yang sangat mahal.  Tinggal hanya beberapa hotel sahaja yang masih ada sedikit kekosongan. Kami memilih untuk menginap di hotel Century Langkasuka Resort (dahulu hotel ini dikenali sebagai Four point by Sheraton) selama 4 hari 3 malam. Disebalik “bad review” yang kami baca di Tripadvisor, kami tetap meneruskan hasrat kami untuk menginap di hotel ini.

Mercu tanda Pulau Langkawi

Kami book tiket feri secara online dari Kuala Kedah untuk berlepas pada pukul 12 tengahari. Harga tiket feri ialah RM23 sehala untuk seorang dewasa. Antara syaratnya ialah anda perlu berada di Jeti 30 minit sebelum feri berlepas. 

Kami keluar dari rumah pada pukul 4 pagi dan sepatutnya akan sampai ke Jeti Kuala Kedah paling lewat pada pukul 10 pagi. Tetapi rupanya sebaik sahaja kami memasuki lebuhraya utara selatan, jalan sesak teruk. Kami langsung tidak dapat berhenti di mana-mana R&R kerana keadaan sesak sepanjang jalan kecuali berhenti di stesen Petronas. Masa dah semakin suntuk tetapi kami masih lagi belum sampai ke Kuala Kedah. Akhirnya kami pasrah sahaja. Mungkin kami terpaksa melepaskan tiket yang telah kami beli tetapi rupanya nasib menyebelahi kami. Sewaktu kami tiba di traffic light berdekatan dengan jeti, seorang lelaki yang menaiki motosikal yang berhenti disebelah kereta kami bertanya samada kami mencari parking. Kami kata dah tinggal 5 minit sahaja lagi mungkin tak sempat kot, tetapi dia meminta kami terus mengikutinya ke jeti. Selepas kami semua  turun di jeti, dia terus membawa suami saya ke tempat parking. Jadi saya dan anak-anak berlari masuk dahulu ke dalam feri sambil berpesan kepada petugas feri agar menunggu suami saya sekejap. Alhamdullilah, mujur kesemua petugas feri baik hati untuk menunggu kami. Nampaknya kami lah penumpang terakhir yang menaiki feri. Jika kami terlepas feri ini, mungkin pada esok hari baru kami boleh ke Pulau Langkawi kerana kami dengar petugas di kaunter berkata tiket feri untuk hari itu telahpun habis. Perjalanan menaiki feri dari Jeti Kuala Kedah ke Pulau Langkawi ialah selama 1 jam 15 minit.

Sebelum datang ke sini kami telah menempah kereta sewa dari Anoxtravel. Jadi apabila kami tiba di Pulau Langkawi kami terus menelefon Anoxtravel yang kemudiannya datang mengambil kami menaiki van untuk ketempat kereta sewa. Kereta Nissan Almeera yang diberi kepada kami berada dalam keadaan sangat baik kerana masih baru.

Kami terus memandu menuju ke hotel Century Langkasuka Resort. Komen saya tentang hotel ini, biliknya luas dan mungkin perlukan sedikit maintanence.  Kolam renangnya sangat besar dan pantainya cantik. Lokasi hotel ini juga agak strategik kerana sangat dekat dengan lapangan terbang dan juga pantai Cenang. 








Keesokan hari, diwaktu pagi kami ke Oriental Village untuk menaiki cable car di Gunung Mat Cincang tetapi malangnya pada waktu itu perkhidmatan cable car diberhentikan sementara kerana angin kuat. Oleh kerana kami dah pernah menaiki cable car pada percutian beberapa tahun yang lepas jadi kami melupakan hasrat menaiki cable car. Jika anda belum pernah lagi menaiki cable car di Gunung Mat Cincang, anda mesti mencubanya bila datang ke sini kerana pengalaman dan pemandangannya sangat menakjubkan.


Windy



Keluar dari kawasan Oriental Village, kami menaiki kenderaan tanpa tujuan sekadar menikmati pemandangan di Pulau Langkawi tetapi kemudian kami perasan kami melalui satu kawasan dimana ada banyak kereta keluar dan masuk. Rupanya perjalanan kami membawa kami ke sebuah jeti. Kami turun dan melihat apa yang ada disitu.  Ianya merupakan jeti untuk pelancong menaiki bot melihat keindahan paya bakau (Mangrove tour). Kami sewa sebuah boat yang membawa kami melalui laluan  sungai yang di kelilingi oleh paya bakau selama lebih kurang dua jam. Dalam perjalanan kami singgah makan di sebuah restoran terapung. Harganya agak mahal tetapi ikannya betul-betul segar. Selepas itu kami singgah di Gua kelawar untuk melihat kelawar. Dalam perjalanan balik, bot berhenti sebentar untuk memberi makan kepada helang-helang. Satu pengalaman yang menarik. Anda boleh baca maklumat lanjut di sini https://www.langkawi-insight.com/langkawi_000019.htm.






Salah sebuah restoren terapung







Selain dari itu tak lupa kami membeli coklat di Kompleks membeli-belah HIG. Harga coklat di Pulau Langkawi lebih murah dari tempat lain kerana Pulau Langkawi berstatus bebas cukai. Terdapat banyak pilihan coklat di sini.  Pada waktu malam kami berjalan-jalan di sepanjang Pantai Cenang. Saya tak sangka pantai Cenang sekarang ini sangat happening dan cantik di waktu malam dah hampir sama macam di Krabi pula keadaannya cuma mungkin tak sepanjang Krabi.