Monday, August 12, 2013

Percutian ke Bali

Pada akhir tahun 2011 saya dan suami berkesempatan bercuti ke Pulau Bali. Waktu itu saya baru sahaja dua minggu duduk di rumah menghabiskan cuti selepas meletakkan jawatan setelah hampir 18 tahun bekerja di pejabat. Jadi saya memang betul-betul teruja untuk melancong dengan penuh kebebasan…hehe.


Kami tiba di lapangan terbang Denpasar pada pukul 6.40 petang. Sebaik keluar ke ruangan menunggu, kami tercari-cari kalau-kalau ada nama kami yang dipamerkan oleh supir-supir yang sedang menunggu tetapi nampaknya tidak ada. Suami saya kemudian tiba-tiba berjalan laju menuju kebahagian tepi. Rupanya dia telah mengenal pasti supir yang akan membawa kami melalui website yang saya tunjukkan kepadanya sebelum kami bertolak ke Bali. Supir kami mungkin tidak memerlukan kad nama untuk kami kerana saya kira dia sudah melihat gambar saya di YM (saya berurusan dengannya melalui YM sebelum ini).



Semasa keluar dari airport, hari telah betul-betul gelap walaupun jam baru menunjukkan pukul 7.30 malam. Di dalam perjalanan menuju ke hotel, supir sempat bercerita mengenai sejarah Bali. Wah, saya agak teruja dengan ilmu pengetahuannya. Tidak silap saya memilihnya sebagai supir! bisik hati saya.



Kami dibawa menuju ke hotel Bali Royal Suite yang terletak di Nusa Dua. Resort ini mempunyai 14 unit suites (private bungalow) sahaja. Biliknya cantik berkonsep Bali, cuma saya rasa agak kurang selesa dengan bilik airnya yang tidak bertutup di bahagian belakang. Maksud saya begini... di belakang bilik kami terdapat taman bunga kecil yang dikelilingi oleh tembok tinggi. Dinding belakang bilik air terdiri dari cermin (yang menampakkan taman.) Jadi setiap kali menggunakan bilik air, saya berasa seperti melakukannya di tempat terbuka…haha;-). 




percutian Bali

percutian Bali
Bilik hotel

Bali
Pemandangan di dalam hotel

bali
Bahagian belakang hotel, menghadap lautan

percutian bali
Private bungalow
Keesokan harinya, pada pukul 8.30 pagi kami memulakan perjalanan untuk melihat tempat-tempat menarik di Bali. Kami serahkan program sepenuhnya kepada supir. Saya dapatkan supir ini dari satu forum pelancongan yang mana menurut mereka dia yang terbaik. Apa sahaja yang ingin kami ketahui tentang Bali akan kami tanyakan dan dia selalu ada jawapannya…;-). Tempat pertama yang kami singgahi ialah di sebuah perkampungan yang membuat hiasan dari perak. Saya kurang berminat dengan perak ini, bukan apa, saya sebenarnya alergi dengan barang-barang kemas yang diperbuat selain daripada emas tulen (betul ni, tak tipu..hehe). Biasalah suami saya suka bertanya itu dan ini mengenai proses membuat perhiasan tersebut dan akhirnya kami pun di pujuk-pujuk supaya membeli barang-barang yang dipamerkan. Saya ni pula kalau tidak berminat macam malas nak dengar, tengok-tengok dan tanya-tanya, tetapi tahu-tahu suami saya sudah tawar menawar sebentuk cincin perak. Namun begitu saya agak tertarik dengan sebuah gelang tangan berwarna turquoise, untuk anak kedua saya. Apa lagi, suami saya pun mula tawar menawar untuk dua barang ini. Tawar menawar sikit punya lama, akhirnya saya pula yang meletakkan harga maksimum. Selepas barang-barang tersebut di beli, kata suami saya harga yang saya letak itu agak tinggi. Alahai, saya ni memang out lah kalau bab tawar menawar ni, tetapi suka pula nak masuk campur, kan dah rugi. Sepatutnya boleh dapat dengan harga yang lebih rendah lagi. Nampaknya lain kali lebih baik saya berdiam diri dan menyerahkan urusan tawar menawar ni kepada suami saya yang lebih terror (mungkin kerana mewarisi bakat daripada arwah ibunya kot...hehe).


Destinasi kedua kami ialah ke sebuah perkampungan yang mana di situ terdapat sebuah galeri yang menempatkan banyak koleksi lukisan. Galeri tersebut dipunyai oleh seorang pelukis bernama Wayan Mardiana. Saya kagum melihat ketelitian lukisannya. Lukisan-lukisannya begitu terperinci dan sempurna. Terdapat juga lukisan-lukisan dari pelukis-pelukis lain yang dipamerkan di situ. Setelah puas melihat kesemua lukisan yang terpamer, kami telah berkenan dengan dua buah lukisan bunga besar. Apalagi, aktiviti tawar menawar pun bermula. Kali ni saya diam sahaja tidak mahu masuk campur, takut rugi pula nanti…hehehe…

bali
Antara lukisan-lukisan yang dipamerkan untuk jualan


bali


Destinasi seterusnya ialah ke sebuah rumah yang mana ahli keluarga mereka turun temurun mengusahakan barangan ukiran dari kayu. Memang cantik dan halus seni ukirannya dan kebanyakkan yang dihasilkan adalah ukiran berbentuk patung-patung. Setelah berpusing-pusing mencari apa yang sesuai, kami membuat keputusan untuk membeli sebuah kotak tissue. Kami minta agar pengukir mengukir nama kami berdua di belakang kotak tersebut. Saya rasa kotak tersebut seperti agak kecil untuk diletakkan tissue. Kata suami saya ok, rupanya memang benar, tidak muat untuk dimasukkan kotak tissue di Malaysia ni…hehe.


bali
Antara ukiran-ukiran kayu yang dihasilkan di sini

percutian bali
Pengukir sedang mengukir nama kami di bahagian belakang kotak tissue

Selesai di rumah ukiran kayu kami meneruskan perjalanan lagi. Kali ini kami singgah disebuah tempat pemprosesan kopi. Di sini kami dapat melihat seekor luwak yang sedang tidur di dalam sangkar. Kopi luwak memang terkenal di sini, begitu juga dengan kopi Bali dan kopi jantan kerana rasanya yang original. Kopi-kopi di sini diproses secara tradisional. Pekat betul rasa kopi yang dihidangkan. Memang betul-betul ori. Harganya juga boleh tahan!



Seekor luwak yang sedang tidur di dalam sangkar

kopi luwak bali
Pelbagai jenis kopi yang dihidangkan

Destinasi seterusnya ialah ke kawasan gunung berapi Kintamani. Cuaca di sini agak sejuk kerana lokasinya terletak di kawasan tanah tinggi. Sebelum turun dari kenderaan, supir berpesan supaya usah tawar menawar, malah jangan pandang sekalipun. Jadi kami ikut sahaja arahannya. Kasihan juga dengan penjual-penjual yang mengekori kami sepanjang jalan, tetapi ada kalanya memang rasa agak menjengkelkan bila didesak-desak. Kami mengekori supir yang berjalan dengan pantas sekali. Pemandangan di sini memang menakjubkan. Puas kami bergambar di sini memandangkan supir juga mengikuti kami, jadi dia bertindak selaku jurugambar. Ada kalanya kami meminta dia berposing dan kami mengambil gambarnya pula...hehe.


Kintamani volcano bali
Pemandangan indah gunung berapi Kintamani

Kenderaan kami bergerak lagi. Saya kurang pasti ke mana destinasi kami akan di bawa seterusnya kerana kami menyerahkan bulat-bulat program kepada supir. Agak lama berada di dalam kenderaan, kami singgah di sebuah kawasan sawah padi yang sungguh cantik pemandangannya iaitu di Tegalalang. Sawah padi di sini ditanam secara bertingkat-tingkat. Kami singgah di sini sekejap sahaja, hanya bergambar berlatar belakangkan pemandangan.



tegalalang bali
Sawah padi di Tegalalang

Waktu sampai di sini, hari sudah petang dan jam sudah melepasi angka 4.00 petang. Perut saya sudah mula berkeroncong. Suami saya sudah mula memberi hint kepada supir bahawa kita semua belum makan tengahari lagi. Menurut supir, agak sukar untuk mencari kedai makanan Islam di kawasan berhampiran. Mendengar jawapannya, kami akur. Walaupun orang-orang di Bali berwajah saling tidak tumpah seperti orang Melayu, tetapi mereka sebenarnya menganuti agama Hindu. Kira-kira setengah jam perjalanan, akhirnya kami berhenti di sebuah restoran nasi padang di sebuah pekan kecil. Kami makan dengan berselera sekali, maklumlah sudah kelaparan. Waktu itu saya rasa menu sambal hijau yang dipilih begitu sedap sekali.


Untuk perjalanan seterusnya saya menanyakan kepada supir, kemanakah destinasi kami selepas ini. Kata supir, kita akan melawat ke sebuah lagi galeri lukisan. Alamak! Saya katakan kepadanya kami sudahpun membeli lukisan. Pokailah saya nanti kalau singgah ke galeri lukisan yang satu lagi. Menurutnya lagi, tidak perlu bimbang, boleh tengok sahaja tidak semestinya membeli. Galeri lukisan yang ini sememangnya sangat besar dan banyak sekali koleksi lukisannya. Memang terpesona saya dengan lukisan-lukisan yang dipamerkan. Yang bagusnya di galeri ini kami di biarkan melihat dari mula sehingga akhir, tiada gesaan langsung menyuruh kami membeli. Lukisan-lukisan di sini nampak begitu berkualiti dan mengkagumkan tetapi harganya lebih mahal dari galeri yang pertama tadi. Saya fikir Supir memang bijak kerana membawa kami melawat galeri pertama yang menawarkan harga yang berpatutan kemudian membawa pula kami ke sini sekadar untuk mencuci mata.

Sewaktu kami keluar dari galeri hari sudah hampir gelap. Saya memaklumkan kepada supir bahawa saya ingin membeli koleksi CD instrumental Bali bila-bila berkesempatan. Saya kira berakhir sudah lawatan kami untuk hari ini memandangkan hari sudah senja. Sewaktu tiba di Bandar Kuta, Supir menghalakan keretanya memasuki ke sebuah kompleks membeli belah di Kuta. Rupanya dia terus membawa kami ke kedai muzik bagi tujuan membeli CD instrumental yang saya katakan tadi. Setelah mencuba beberapa keping CD, kami berkenan untuk membeli tiga CD bertajuk Bali Bosanova, Bali meet Sunda dan Bali Chill Out. Pada mulanya saya terfikir untuk membeli McDonald drive thru sahaja untuk makan malam, tetapi keluar dari kedai CD, kami terus ternampak kedai rotiboy. Saya bertanya kepada Supir samada rotiboy halal atau tidak. Dia ketawa, katanya...rotiboy kan produk dari Malaysia, sudah semestinya halal. Oleh kerana kami makan tengahari lewat dan masih kekenyangan, jadi kami bercadang untuk makan roti sahaja malam itu. Sampai di hotel, kami serahkan dua biji roti boy kepada Supir. Dia berterimakasih dan memaklumkan bahawa esok perjalanan akan dimulai pada jam 9.00 pagi. Perjalanan agak memenatkan tetapi menyeronokkan.

Pada hari ketiga, jam 9.00 pagi tepat supir telah menunggu kami di lobi hotel. Destinasi pertama yang kami tujui ialah ke sebuah pusat membeli belah Krishna. Tempat ini memang lengkap dengan pebagai koleksi barangan souvenir. 

Selesai membeli belah, kami meneruskan perjalanan menuju ke Temple Tanah Lot. Temple besar ini terletak betul-betul di tepi pantai. Pemandangannya cantik dan yang lebih menarik, di temple ini kita dapat melihat penduduk Bali datang beramai-ramai melakukan upacara keagamaan. Kedai-kedai menjual cenderamata juga banyak terdapat di sini.


temple tanah lot
Temple Tanah Lot

temple tanah lot


Waktu kami meninggalkan temple Tanah Lot, hari telah panas terik. Sepanjang perjalanan ke tempat seterusnya, supir menceritakan serba sedikit mengenai adat resam dan pantang larang masyarakat Bali. Menurutnya rumah orang Bali di pagarkan dengan pagar batu dan di dalam pagar tersebut terdapat beberapa buah rumah (terdiri daripada kaum keluarga mereka). Orang-orang Bali diikat dengan templenya, bermakna setiap 6 bulan ada upacara temple yang wajib mereka hadiri. Pagarnya pula, walaupun besar, tetapi pintu pagarnya kecil dan hanya boleh muat di masuki oleh seorang sahaja pada suatu masa. Menjadi pantang mereka jika masuk beriringan. Setiap rumah yang kami lalui, saya lihat pasti ada temple di bahagian hadapan rumah. Menurutnya lagi, apabila pasangan Bali mendapat anak lelaki, mereka akan mendirikan sebuah temple dan rumah untuk anak lelaki mereka. Upacara sembahyang pula akan dilakukan oleh kaum wanita sebanyak tiga kali sehari. Sewaktu kami singgah di sebuah kedai makan milik orang Sunda, saya berasa pelik kerana melihat ada temple di dalamnya. Saya sudah mula ragu-ragu, tetapi supir menyakinkan agar tidak bimbang kerana pemiliknya beragama Islam dan menghidangkan makanan halal. Temple yang dibina adalah untuk pekerja-pekerja mereka yang beragama Hindu. Saya kira lebih kurang seperti di negara kita ini, bila pihak majikan menyediakan surau untuk pekerja-pekerja beragama Islam. Ternyata masyarakat Bali masih berpegang teguh dengan adat dan begitu taat dengan agama yang mereka anuti.


Agak jauh perjalanan menuju ke destinasi seterusnya. Puas saya dapat melihat kampung-kampung, sawah-sawah, pemandangan dan rumah-rumah orang Bali. Supir akhirnya memberhentikan kereta di sebuah kawasan yang kelihatan seperti sebuah hotel. Dia mencadangkan agar kami minum sahaja di sini kerana makanannya tidak sedap. Kami hanya menurut sahaja cadangannya. Kami memesan kopi jantan sambil menikmati pemandangan sawah padi yang luas terbentang. Cantik betul pemandangannya seperti di dalam lukisan yang kami lihat di galeri lukisan semalam. Selesai minum, supir membawa kami turun ke kawasan sawah padi menaiki lif yang disediakan di bangunan itu. Memang cantik tempat ini! Apalagi, kami pun bergambar sakan di kawasan ini.

saranam bali
Pemandangan indah di Saranam

Selepas masuk ke dalam kereta baru saya perasan, harga makanan di restoran yang kami minum tadi memang agak mahal kerana mungkin mengikut kadar hotel. Agaknya sebab itu supir mengatakan makanannya tidak sedap…hehehe. Pandai betul supir yang kami pilih ini.

Perjalanan diteruskan ke kawasan yang agak mendaki. Kami singgah di sebuah restoran makanan Lombok untuk menikmati makan tengahari. Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke Ulun Danu, Bedugul. Di sini terdapat sebuah temple yang cantik terletak betul-betul di tepi tasik. Udara di sini begitu nyaman sekali. Sebenarnya di sinilah tempat yang ingin saya lawati kerana bila saya google Bali, image temple ini yang banyak keluar. Menurut supir, di Bedugul, penduduk beragama hindu tidak dibenarkan memakan daging khinzir, manakala penduduk beragama Islam pula tidak dibenarkan memakan daging lembu di dalam kawasan Bedugul. Sekiranya mereka ingin menikmati makanan ini, mereka perlu keluar dari kawasan Bedugul. Ini adalah sebagai menghormati pegangan agama diantara satu sama lain. 


temple ulun danu
Temple Ulun Danu

Selesai berjalan-jalan dan mengambil gambar di sini, kami menaiki kenderaan untuk pulang. Mata saya pun sudah mengantuk waktu itu. Supir dan suami saya bercerita tentang itu dan ini. Jauh betul perjalanan untuk sampai ke hotel. Saya katakan kepada Supir bahawa sewaktu di Krishna tadi saya mencari kain batik tetapi tidak berjumpa melainkan kain batik lepas. Jadi dalam perjalanan balik, supir singgah di bandar dan menurunkan kami di sebuah kedai cenderamata, malangnya tidak juga kami temui kain batik, melainkan yang telah dijahit menjadi baju atau seluar.


Supir mencadangkan supaya esok sebelum kami berangkat pulang, dia akan membawa saya mencari kain batik di Kuta. Oleh kerana hari sudah malam, maka kami bercadang untuk membungkus McDonald saja. Tetapi di dalam perjalanan supir mencadangkan kami membungkus nasi ayam penyet yang di jual di tepi jalan. Pasti dia tahu nasi ayam penyet di situ memang sedap kerana itu dia berani mencadangkan kepada kami. Kami setuju sahaja, asalkan tidak begitu menyusahkannya. Ternyata nasi ayam penyetnya memang authentic, cuma sambalnya huh…pedas bangat!!!

Hari terakhir di Bali, pada pukul 10.30 pagi kami telah check out dari hotel. Kali ini kami pula yang menunggu supir di lobi hotel…hehehe. Dia sampai tepat pada jam 11.00 pagi. Kami nyatakan yang kami telah mengubah fikiran untuk membeli selendang (shawl) sahaja di Krishna supaya lebih mudah. Sampai di Krishna kami terus mengambil beberapa helai shawl dan tak sampai pun 15 minit kami dah siap shopping. Memandangkan penerbangan kami ialah pada pukul 3.00 petang, jadi kami bercadang untuk makan tengahari dahulu sebelum ke lapangan terbang. Tempat terakhir yang kami singgahi ialah di sebuah restoran sunda. Selesai makan, kami membuat bayaran kepada supir dan kemudian dia menghantar kami ke lapangan terbang. Sebaik menurunkan kami, dia bergegas membawa kenderaannya, sudah pasti untuk melaksanakan tugasan seterusnya.

Itu sahaja catatan percutian kami ke Bali. Menurut supir, sebetulnya ada pakej melawat ke pantai-pantai dan melihat ikan lumba-lumba di Lovina sekiranya kami menetap sehari lagi. Pada pendapat kami, trip ke Bali agak menarik kerana banyak tempat-tempat menarik boleh dilawati. Namun begitu sekiranya saya berkesempatan untuk berkunjung ke Bali semula, saya pasti akan meminta supir membawa saya melihat ke galeri lukisan satu demi satu. Tentang supir pula, saya berpuas hati dengan perkhidmatannya kerana dia sangat berpengetahuan, peramah, baik dan boleh dipercayai orangnya. Kalau di beri markah, saya akan beri 9/10 di atas perkhidmatannya. Cuma satu sahaja yang saya perasan, supir ni agak sibuk melayan telefon dan sms tidak kira waktu dan sekiranya menunggu kami menghabiskan masa di sesuatu tempat, saya lihat dia sibuk betul dengan urusan di telefon ataupun tabletnya. Jalannya juga pantas sekali dan kadang-kadang saya rasa seperti tergesa-gesa. Rupanya supir ni menjadi coordinator/ketua yang merancang proses mengambil dan mengurus pelanggan-pelanggan mereka di sini. Sekiranya dia betul-betul fokus melayan kami, memang saya beri dia markah penuh. Namun begitu, kesibukannya tidak mencacatkan langsung layanannya kepada kami. Jika kami ke sana lagi, kami tidak akan ragu-ragu untuk memilih dia lagi dan dia juga pernah berkata…”sekiranya ada pelanggan saya yang datang untuk kali kedua dan seterusnya dan memerlukan perkhidmatan saya lagi, saya memang tidak bisa menolaknya.”