Monday, February 9, 2015

Taiping

Taiping. Ini merupakan kali pertama kami menjejakkan kaki ke Taiping.
Trip pada kali ini tiada tujuan apa-apa melainkan untuk melihat  tempat orang sambil jalan-jalan cari makan.

Sebelum sampai ke Taiping kami singgah di sebuah restoren yang terkenal dengan hidangan mee udang iaitu Restoren Nur Zetty yang terletak di Changkat Jering. Rasa mee udangnya boleh tahan, ABC nya juga sedap dan halus (terlupa pula nak mengambil gambar makanan di sini).

Selepas makan kami terus menuju ke Sentosa Villa. Sebelum datang ke sini, kami telah menempah satu bilik untuk dua malam dengan kadar RM398.00 se malam.  Terdapat dua katil single dan satu katil bersaiz king di dalam bilik ini. Sentosa Villa ni terletak kira-kira lima minit dari kaki Bukit Larut. Villa ini dikelilingi dengan kehijauan dan suasananya sangat tenang dan damai.

Bilik di Sentosa Vila


Di sekitar Sentosa Villa

Sebelum datang ke sini kami ada juga menggoogle tentang tempat-tempat makan yang menarik di Taiping. Hari pertama, kami pergi ke medan selera untuk mencari Ella popia. Malangnya kedai popia ni tutup. Tapi tak apalah, kami bungkus rojak untuk di makan di Taman Tasik Taiping.

Taman tasik Taiping yang indah

Taiping War Memorial

Dari Taman Tasik Taiping kami bergerak menuju ke Pusat Penjaja Taiping (belakang balai bomba) untuk menikmati Yong Tau Fu. Banyak betul pilihan Yong Tau fu disini.

Yummy! Yong Tau fu


Hari kedua, awal pagi kami bergerak menuju ke kaki Bukit Larut. Program hari ini ialah untuk naik ke Bukit Larut, tetapi sayangnya jalan ke Bukit Larut ditutup kerana kerja-kerja pembaikan akibat tanah runtuh sedang dijalankan. Tiada rezeki untuk naik ke Bukit Larut, jadi kami bergerak menuju ke Zoo Taiping.


Inilah kenderaan yang akan digunakan untuk naik ke Bukit Larut

Harga tiket masuk ke Zoo Taiping RM16 bagi seorang dewasa

Banyak gambar-gambar haiwan yang diambil di Zoo Taiping ini, tetapi saya hanya ingin belanja anda dengan sekeping gambar harimau yang cantik ini. 



Keluar dari Zoo Taiping kami pergi ke restoren Doli untuk makan tengahari. Restoren ini terkenal dengan keenakan kueh teownya, namun setelah mencuba, pada pendapat saya, rasa kueh teownya biasa-biasa saja (mungkin sebab kerang dan udangnya halus-halus sangat…hehe). Saya rasa nasi ayam di sini lebih sedap dari kueh teow. Selepas makan tengahari, dalam perjalanan pulang ke resort kami singgah sekali lagi di gerai Ella popia tetapi malangnya kedai popia tersebut telah ditutup untuk hari itu kerana jualannya sudah habis. Aikk…awal lagi dah habis. Memang tak ada rezeki untuk merasa popia basah di sini. Saya jadi merajuk terus….tak mau singgah sini lagi…huhu.

Di sebelah petang kami pergi ke Kuala Sepetang untuk menikmati mee udang Mak Jah. Untuk penggemar mee udang, mungkin mee udang di Kuala Sepetang ni yang terbaik kot. Bagi saya, bolehlah, sedap juga cuma kuahnya agak manis.



Saya rasa percutian ke Taiping ni agak menarik juga kerana walaupun bandar Taiping agak kecil tetapi banyak tempat boleh dilawati. Lengkap juga dengan penjara, zoo, muzium, War memorial dan taman tasik. Landskapnya cantik kerana dikelilingi oleh gunung ganang dan banyak kehijauan. Bangunan-bangunan lama juga terpelihara dengan baik dan nampak cantik. Bila datang ke sini terasa ada kelainannya.