Punyalah lama saya simpan entri mengenai Kuching ni, sampai
segan saya nak beritahu bila sebenarnya saya mengunjungi Kuching…hehe. Oklah,
biar saya maklumkan di sini, semasa saya sampai di Kuching, banyak kedai-kedai
yang masih ditutup kerana mereka masih bercuti umum. Ya, mereka bercuti bersempena
dengan sambutan Hari Gawai. Hari Gawai tu….dah nak masuk tiga bulan dari tarikh hari
ini.
Baiklah, serba sedikit entri mengenai Kuching. Perjalanan
dari lapangan terbang Kuching ke hotel Riverside Majestic hanya mengambil masa
kira-kira 15 minit sahaja. Jalanraya di sini tidak sesak, tidak jem dan berjalan
lancar.
Jom lihat beberapa keping gambar yang di ambil semasa
berada di Kuching.
Bilik tetamu di Riverside Majestic Kuching |
Patung Kucing |
Muzium Sarawak |
Kek Lapis Dayang Salhah |
Antara kek-kek yang dijual di kedai kek lapis Dayang Salhah |
Untuk pergi ke kedai kek lapis Dayang Salhah ini, jika dari
waterfront, hanya perlu menaiki bot penambang yang banyak menunggu ditepian
sungai Sarawak. Jaraknya tidak jauh. Kek
boleh dibeli di situ juga ataupun ditempah melalui borang yang diberi dan akan
dihantar ke hotel pada hari yang kita kehendaki. Kek-kek ini telah siap dibungkus dengan baik jadi tidak perlu dimasukkan ke dalam luggage pun tidak mengapa.
Ikan terubuk masin |
Ikan terubuk masin pun ada banyak dijual di sini. Seperti kek
lapis, anda juga boleh menempah ikan-ikan ini dan mereka akan hantar ke hotel
sebelum anda meninggalkan bumi Sarawak.
Untuk makan-makan pula, di Sarawak terdapat banyak kedai
makan yang menyediakan makanan yang sedap-sedap. Anda mungkin ingin mencuba makanan
mee kolok ataupun laksa Sarawak yang terkenal. Semasa saya berada di sana, saya
paling suka makan seafood di Top spot kerana di sini terdapat lobster yang enak dengan
harga yang sangat berpatutan. (maaf, gambar makanan tidak ada, selalunya bila
makanan dah nak habis baru teringat pasal nak bergambar…hehe).
Biasanya pengunjung ke Kuching akan melawat ke Sarawak Cultural
Village yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan menaiki kenderaan, tetapi
saya tidak pergi pada kali ini kerana saya telahpun melawatnya pada kunjungan
saya yang terdahulu.
Di jalan Main bazaar di sepanjang Kuching waterfront
terdapat banyak sekali deretan kedai-kedai cenderamata yang menjual barangan
kraftangan buatan penduduk tempatan.
Souvenir |
Souvenir |
Bot Penambang (Nota: ini bukan bot yang saya naiki, jadi pakcik dalam gambar ni tak de kena mengena dengan cerita ni...hehe) |
Dengar ceritanya harga tambang bot penambang ini hanyalah 50
sen sahaja untuk satu trip ke tanah seberang. Oleh kerana saya telah
pun pergi ke kedai kek Dayang Salhah dengan menaiki kenderaan darat, maka saya
hanya teringin untuk membawa anak saya menaiki bot menyeberang sungai Sarawak
pergi dan balik, itu sahaja. Pakcik bot mencadangkan agar pergi ke kedai kek Dayang
Salhah. Saya katakan bahawa saya sudah pergi semalam dan hanya mahu ke seberang
dan balik, kemudian pakcik tu berkata, oh nak jalan-jalan saja, boleh, boleh. Saya
kata baguslah kalau begitu, jom kita naik.
Maka kami pun di bawa menaiki bot,
melihat pemandangan di sepanjang sungai, tidaklah jauh sangat, kira-kira dalam
15 minit lebih kurang perjalanan (lebih kurang 6 kali pergi dan balik ke
seberang, begitulah) apabila saya melihat pakcik bot seperti mahu membawa kami
berjalan terus, maka saya memberitahu dengan pakcik supaya menurunkan kami di Riverside
Majestic (tempat kami naik tadi), kerana kami ingin pergi ke Pasar Satok
sebelum naik flight pada petang nanti. Apabila turun, saya terdengar pakcik bot
menyebut RM15. Terkejut saya. Mahalnya!. Bila suami saya beri duit RM50, baki
yang di pulangkan hanyalah RM5. Setelah pakcik tu berlalu, saya tanya suami
saya berapa tambang bot. Kata suami saya RM15 seorang. Jadi total RM45. Hah!
Terkejut beruk saya. Saya ingatkan RM15 untuk semua (itupun dah rasa
mahal). Jauh beza betul harga dari 50 sen ke RM 45…hahaha.
Mujur saya minta
berhenti di Riverside Majestic, Kalau tidak entah berapalah tambang yang
dikenakan agaknya. Menyesal saya tidak minta dia hantarkan ke seberang saja,
boleh juga saya beli dua ketul kek di Dayang Salhah. Kalau sepuloh kali pergi balik
ke seberang sampai pening pun belum sampai lagi harga macam ni…haihh… Tak tahulah pulak kalau dia charge mahal sebab hanya kami bertiga dalam satu bot. Kata
suami saya tak apalah, lebih murah dari tambang Sarawak River Cruise yang
berharga RM60 seorang…huhu. Memang betullah tu, tetapi Sarawak River Cruise dapat
memberikan pengalaman yang berbeza, selesa, ada light snack, persembahan dan
perjalanannya berganda-ganda ganda (serius bergandalahkan 1.5 jam berbanding 15
minit) lebih jauh dari yang kami lalui….huhu..saya
sedih sekejap. #kalaumacamnitentuloadedpakcikbottuhehe. Moral of the story,
lain kali tanya dulu berapa harga tambang sebelum masukkan kaki ke dalam bot….ngeee.
Oklah, lupakan saja tentang pakcik bot tu. Saya pun silap juga kerana tidak
bertanya terlebih dahulu kepadanya. Inipun merupakan satu pengalaman yang berharga
juga untuk saya catatkan disini sebagai kenangan.
Sarawak River Cruise |
Medan Niaga Satok. |
Sebelum mengakhiri catatan ini, mari kita mencuci mata dengan
keindahan
Gunung Santubong.
Gunung Santubong dari kejauhan. |
Sepanjang empat kali saya menaiki teksi di sini saya dapati
pemandu teksi di sini sangat peramah. Walaupun ada ketika tu teksi yang saya
naiki tertulis milik orang cina dan pemandunya juga berwajah cina, tetapi
apabila mereka mula membuka mulut, saya kagum dengan keramahan dan kefasihan
mereka berbahasa Melayu. Berbeza apabila tiba di KLIA, pemandu teksi yang saya
naiki senyap sunyi dari awal perjalanan sehinggalah sampai kerumah. Hanya pada
awalnya sahaja pemandu teksi menanyakan tentang alamat rumah. Saya tahu tidak
semua pemandu teksi di KLIA begini (kerana saya telah berkali-kali menaiki teksi KLIA), cuma apabila pulang dari Sarawak, saya
betul-betul terasa kelainannya.
Kunjungan ke Kuching memang menarik kerana bandar Kuching aman, tidak sesak, bersih dan orangnya juga baik-baik.