Showing posts with label Kuching. Show all posts
Showing posts with label Kuching. Show all posts

Wednesday, August 20, 2014

Kuching, Sarawak

Punyalah lama saya simpan entri mengenai Kuching ni, sampai segan saya nak beritahu bila sebenarnya saya mengunjungi Kuching…hehe. Oklah, biar saya maklumkan di sini, semasa saya sampai di Kuching, banyak kedai-kedai yang masih ditutup kerana mereka masih bercuti umum. Ya, mereka bercuti bersempena dengan sambutan Hari Gawai. Hari Gawai tu….dah nak masuk tiga bulan dari tarikh hari ini.  

Baiklah, serba sedikit entri mengenai Kuching. Perjalanan dari lapangan terbang Kuching ke hotel Riverside Majestic hanya mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja. Jalanraya di sini tidak sesak, tidak jem dan berjalan lancar.
Jom lihat beberapa keping gambar yang di ambil semasa berada di Kuching.

Kuching

riverside majestic
Bilik tetamu di Riverside Majestic Kuching

Patung Kucing


muzium sarawak
Muzium Sarawak


kek lapis dayang salhah
Kek Lapis Dayang Salhah

kek lapis dayang salhah
Antara kek-kek yang dijual di kedai kek lapis Dayang Salhah

Untuk pergi ke kedai kek lapis Dayang Salhah ini, jika dari waterfront, hanya perlu menaiki bot penambang yang banyak menunggu ditepian sungai Sarawak. Jaraknya tidak jauh.  Kek boleh dibeli di situ juga ataupun ditempah melalui borang yang diberi dan akan dihantar ke hotel pada hari yang kita kehendaki. Kek-kek ini telah siap dibungkus dengan baik jadi tidak perlu dimasukkan ke dalam luggage pun tidak mengapa.


ikan terubuk masin
Ikan terubuk masin

Ikan terubuk masin pun ada banyak dijual di sini. Seperti kek lapis, anda juga boleh menempah ikan-ikan ini dan mereka akan hantar ke hotel sebelum anda meninggalkan bumi Sarawak.

Untuk makan-makan pula, di Sarawak terdapat banyak kedai makan yang menyediakan makanan yang sedap-sedap. Anda mungkin ingin mencuba makanan mee kolok ataupun laksa Sarawak yang terkenal. Semasa saya berada di sana, saya paling suka makan seafood di Top spot kerana di sini terdapat lobster yang enak dengan harga yang sangat berpatutan. (maaf, gambar makanan tidak ada, selalunya bila makanan dah nak habis baru teringat pasal nak bergambar…hehe).

Biasanya pengunjung ke Kuching akan melawat ke Sarawak Cultural Village yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan menaiki kenderaan, tetapi saya tidak pergi pada kali ini kerana saya telahpun melawatnya pada kunjungan saya yang terdahulu.

Di jalan Main bazaar di sepanjang Kuching waterfront terdapat banyak sekali deretan kedai-kedai cenderamata yang menjual barangan kraftangan buatan penduduk tempatan.

souvenir kuching
Souvenir

Souvenir
bot penambang
Bot Penambang (Nota: ini bukan bot yang saya naiki, jadi pakcik dalam gambar ni tak de kena mengena dengan cerita ni...hehe)

Dengar ceritanya harga tambang bot penambang ini hanyalah 50 sen sahaja untuk satu trip ke tanah seberang. Oleh kerana saya telah pun pergi ke kedai kek Dayang Salhah dengan menaiki kenderaan darat, maka saya hanya teringin untuk membawa anak saya menaiki bot menyeberang sungai Sarawak pergi dan balik, itu sahaja. Pakcik bot mencadangkan agar pergi ke kedai kek Dayang Salhah. Saya katakan bahawa saya sudah pergi semalam dan hanya mahu ke seberang dan balik, kemudian pakcik tu berkata, oh nak jalan-jalan saja, boleh, boleh. Saya kata baguslah kalau begitu, jom kita naik. 

Maka kami pun di bawa menaiki bot, melihat pemandangan di sepanjang sungai, tidaklah jauh sangat, kira-kira dalam 15 minit lebih kurang perjalanan (lebih kurang 6 kali pergi dan balik ke seberang, begitulah) apabila saya melihat pakcik bot seperti mahu membawa kami berjalan terus, maka saya memberitahu dengan pakcik supaya menurunkan kami di Riverside Majestic (tempat kami naik tadi), kerana kami ingin pergi ke Pasar Satok sebelum naik flight pada petang nanti. Apabila turun, saya terdengar pakcik bot menyebut RM15. Terkejut saya. Mahalnya!. Bila suami saya beri duit RM50, baki yang di pulangkan hanyalah RM5. Setelah pakcik tu berlalu, saya tanya suami saya berapa tambang bot. Kata suami saya RM15 seorang. Jadi total RM45. Hah! Terkejut beruk saya. Saya ingatkan RM15 untuk semua (itupun dah rasa mahal). Jauh beza betul harga dari 50 sen ke RM 45…hahaha. 

Mujur saya minta berhenti di Riverside Majestic, Kalau tidak entah berapalah tambang yang dikenakan agaknya. Menyesal saya tidak minta dia hantarkan ke seberang saja, boleh juga saya beli dua ketul kek di Dayang Salhah. Kalau sepuloh kali pergi balik ke seberang sampai pening pun belum sampai lagi harga macam ni…haihh… Tak tahulah pulak kalau dia charge mahal sebab hanya kami bertiga dalam satu bot. Kata suami saya tak apalah, lebih murah dari tambang Sarawak River Cruise yang berharga RM60 seorang…huhu. Memang betullah tu, tetapi Sarawak River Cruise dapat memberikan pengalaman yang berbeza, selesa, ada light snack, persembahan dan perjalanannya berganda-ganda ganda (serius bergandalahkan 1.5 jam berbanding 15 minit)  lebih jauh dari yang kami lalui….huhu..saya sedih sekejap. #kalaumacamnitentuloadedpakcikbottuhehe. Moral of the story, lain kali tanya dulu berapa harga tambang sebelum masukkan kaki ke dalam bot….ngeee. Oklah, lupakan saja tentang pakcik bot tu. Saya pun silap juga kerana tidak bertanya terlebih dahulu kepadanya. Inipun merupakan satu pengalaman yang berharga juga untuk saya catatkan disini sebagai kenangan.


sarawak river cruise
Sarawak River Cruise


Medan Niaga Satok. 


Sebelum balik kami sempat pergi ke Medan Niaga Satok. Pelbagai barangan ada dijual disini tetapi kami tidak membeli apa-apapun kecuali beberapa biji buah salak. 

Sebelum mengakhiri catatan ini, mari kita mencuci mata dengan keindahan 
Gunung Santubong.

gunung santubong
Gunung Santubong dari kejauhan.

Sepanjang empat kali saya menaiki teksi di sini saya dapati pemandu teksi di sini sangat peramah. Walaupun ada ketika tu teksi yang saya naiki tertulis milik orang cina dan pemandunya juga berwajah cina, tetapi apabila mereka mula membuka mulut, saya kagum dengan keramahan dan kefasihan mereka berbahasa Melayu. Berbeza apabila tiba di KLIA, pemandu teksi yang saya naiki senyap sunyi dari awal perjalanan sehinggalah sampai kerumah. Hanya pada awalnya sahaja pemandu teksi menanyakan tentang alamat rumah. Saya tahu tidak semua pemandu teksi di KLIA begini (kerana saya telah berkali-kali menaiki teksi KLIA), cuma apabila pulang dari Sarawak, saya betul-betul terasa kelainannya.


Kunjungan ke Kuching memang menarik kerana bandar Kuching aman, tidak sesak, bersih dan orangnya juga baik-baik.