Untuk trip ke Universal Studio Singapore (USS) ini kami mengambil pakej
dari Puteri Pacific Hotel, Johor Bahru. Harga yang ditawarkan ialah RM 343.00
per pax (untuk dewasa) yang mana pakej termasuk penginapan untuk bilik berdua dan
bilik bertiga (dua buah bilik), sarapan pagi di hotel, tiket universal studio
dan bas pergi dan balik dari hotel ke Universal studio vice versa. Untuk penginapan
pada malam berikutnya kami hanya perlu membayar harga bilik sahaja.
Kami dikehendaki untuk menunggu di lobi hotel pada pukul 8.00 pagi. Oleh
kerana terdapat beberapa buah keluarga yang mengisi kad embarkation pada pagi
tersebut maka kami terpaksa menunggu dan setelah siap semuanya, bas mula bertolak
pada pukul 8.30 pagi. Saya sangkakan masuk ke Singapura ini mudah sahaja,
maklumlah jaraknya dekat sahaja. Dari bilik hotel pun boleh nampak Singapura dengan jelas.
Paling-paling pun mungkin satu jam kami sudah berada di USS. Rupanya telahan
saya silap. Jalanraya jem teruk, bas bergerak sangat perlahan. Perhentian pertama
ialah di bahagian imigresen Malaysia dimana semua penumpang perlu turun dan menuju
ke kaunter untuk melalui Sistem Pengesahan Biometric. Selesai proses di sini, turun di platform A dan menaiki
semula bas yang sama.
Selepas itu bas meneruskan perjalanan untuk ke bahagian imigresen
Singapura pula. Jem masih teruk. Seperti tadi, sebaik turun dari bas masing-masing
bergegas menuju ke kaunter imigresen. Ramai sungguh orang beratur di sini.
Untuk melepasi kaunter imigresen ini mengambil masa satu jam. Selesai urusan,
kami turun untuk menaiki bas semula.
Tiba di USS jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari. Pemandu bas
berpesan supaya berada di dalam bas semula pada pukul 6.45 petang. Nampaknya
kami sudah kerugian masa selama dua jam (USS di buka dari jam 10.00 am – 7.00
pm). Pengunjung tidaklah berapa ramai
pada hari tersebut kerana kami datang pada hari bekerja (Isnin) tetapi
memandangkan masa yang terhad maka kami pergi ke kaunter untuk mengupgrade
tiket ke Universal Express. Dari maklumat yang saya baca di internet harga
untuk upgrade ke tiket Universal Express ialah SGD 30 per pax tetapi petugas kaunter memaklumkan bahawa
harga utk upgrade tiket telah dinaikkan ke SGD 50 per pax. Bermakna untuk lima
orang kami perlu membayar sebanyak SGD 250. Mahal jugak tu! Rasa macam rugi
juga sebab kalau nak beratur rasanya tidaklah terlalu lama, tetapi memikirkan
kami bukan selalu datang ke sini dan kami ingin menaiki semua rides yang ada, maka
kami setuju untuk mengupgrade ke tiket Universal Express. Dengan tiket ini,
kami akan mendapat priority untuk menaiki semua rides kerana ada laluan khas
untuk pemegang tiket Universal Express. Tetapi tiket ini hanya membolehkan kami
menaiki semua rides sekali sahaja, selepas itu jika kami ingin menaiki semula
kami terpaksa beratur di laluan biasa. Di USS terdapat 16 rides kesemuanya.
Daripada 16 rides tersebut kami dapat menaiki 10 rides sahaja. Roller
coaster Cyclon dan Human Battlestar Galactica yang menjadi tarikan utama di
bahagian Sci-Fi City pula telah ditutup. Rides yang lain pula ada yang ditutup
sementara kerana mengalami masalah teknikal dan selebihnya rides yang hanya
sesuai untuk anak-anak kecil.
Saya dah sampai ke Sesame Street. Anda bila lagi?…hehe |
Daripada kesemua rides yang ada di sini, pada pendapat saya, Transformers
ride merupakan permainan yang terbaik. Bila masuk ke dalam permainan ini kita
seperti berada betul-betul di dalam dunia robot. Saya rasa orang yang merekacipta
permainan ini memang sangat hebat! Jika anda datang ke sini, pastikan anda TIDAK
melepaskan peluang menaiki permainan ini.
Revenge of the Mummy pula merupakan roller coaster high speed yang agak menakutkan bagi saya.
Mujurlah keadaan dalam tu gelap, dan disebabkan ketakutan, maka hampir
sepanjang ride saya menutup mata. Sudahlah gelap tutup mata pula...memang saya tak nampak apalah...
Kami sempat menyaksikan Live Water show (di bahagian The Lost World) pada
pukul 4.00 petang. Boleh tahan hebatnya persembahan stunt mereka. Jika anda
berhasrat untuk melihat pertunjukan-pertunjukan yang diadakan di USS ini, sila rujuk
kepada jadual waktu di flyer.
Selepas menyaksikan Live water show, suami dan anak-anak saya menaiki
Revenge of the Mummy semula. Saya dah tak sanggup naik lagi dan lebih rela menawarkan diri untuk menjaga
semua barang-barang…hehe.
Pada pukul 5.00 petang ke atas, waktu menunggu kebanyakan rides telah
menjadi pendek maka kami beratur untuk menaiki Transformers ride sekali lagi. Masih belum puas rasanya. Rasa ingin mengulang untuk kali ketiga, tetapi takut ketinggalan
bas pula nanti.
Sekiranya anda berasa lapar semasa berada di sini, jangan bimbang
kerana terdapat lima buah restoren halal di dalam USS ini. Surau pula terletak
dibahagian Ancient Egypt. Surau ini
kecil sahaja dan hanya boleh memuatkan kira-kira 7 orang jemaah pada satu-satu
masa (untuk bahagian perempuan, mungkin bahagian lelaki pun sama juga
kot).
Tepat pukul 7.00 petang bas bertolak balik ke hotel. Proses keluar dari
Singapura sama seperti proses memasuki pada pagi tadi cuma lebih cepat selesai.