Kami tiba di lapangan terbang Kota
Kinabalu pada pukul 1.30 tengahari. Selepas mengambil beg, kami terus menuju ke
pejabat Avis untuk mengambil kereta sewa yang telah kami tempah secara online.
Dengan kereta sewa, kami terus
memandu menuju ke Kundasang berpandukan GPS. Perjalanan mengambil masa
kira-kira dua jam. Kami sempat singgah di beberapa tempat menarik disepanjang
perjalanan. Semasa di Kundasang, kami menginap di Kinabalu Pine Resort.
Pemandangan di dalam resort ini begitu cantik kerana ianya dipenuhi dengan
pokok-pokok pine yang subur menghijau. Terdapat juga banyak bunga-bungaan yang
cantik dan berwarna-warni ditanam di sini kerana cuacanya agak sejuk
dan nyaman.
Disebabkan cuaca dingin dan hujan gerimis,
ditambah lagi dengan hari yang cepat gelap, maka selepas pukul 6.00 petang
kami sudah tidak ke mana-mana, melainkan menikmati hidangan makan malam di
resort ini. Makanan yang dihidangkan boleh tahan sedap rasanya.
Keesokan harinya kami berkunjung ke Poring
Hot Spring, berjalan-jalan di kawasan sekitarnya dan sempat juga merendamkan
kaki ke dalam kolam air panas.
Poring Hot Spring |
Kami juga melawat ke Taman Negara Kinabalu sambil memandu dan berhenti di beberapa tempat menyaksikan keindahan Gunung Kinabalu yang sedikit terlindung oleh kabus pagi.
Pada mulanya kami bercadang untuk melawat
Mesilau Dairy Farm tetapi nampaknya tidak berkesempatan memandangkan tempatnya
agak jauh dan kami perlu check-out dari hotel untuk pulang ke Kota
Kinabalu. Untuk perjalanan menuju ke Kota Kinabalu, kami memilih laluan jauh
kerana kami bercadang untuk singgah di Pusat Penerangan Rafflesia di Tambunan.
Jauh betul perjalanannya sehinggakan saya tertidur beberapa kali sepanjang perjalanan. Kami
menempuhi jalan yang bengkak bengkok dikelilingi oleh hutan tebal, kadang-kadang
mendaki dan ada juga bahagian-bahagian jalannya yang memang tidak
sempurna. Namun begitu apa yang menariknya ada beberapa kawasan yang kami lalui
diseliputi oleh kabus tebal. Kami menurunkan cermin tingkap kereta untuk merasai
kabus dan udara yang sejuk, malahan kami juga singgah sebentar di tepi jalan
untuk mengambil gambar di dalam kabus tebal tersebut.
Kabus tebal di beberapa kawasan didalam perjalanan ke Kota Kinabalu |
Setibanya kami di Pusat Penerangan
Rafflesia, suasana agak sunyi kerana nampaknya hanya keluarga kami
sahaja yang mengunjungi tempat tersebut pada masa itu. Kami jangkakan dapat
melihat bunga Rafflesia dengan mudah, rupanya kami terpaksa menempah seorang
guide untuk membawa kami ke dalam hutan bagi melihat bunga tersebut.
Kami sampai pada waktu rehat tengahari, jadi guide yang bertugas pun tiada pada
masa itu. Oleh kerana cuaca panas terik, kelaparan dan agak
keletihan disebabkan oleh perjalanan jauh, kami tidak jadi melihat
bunga rafflesia dan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.
Di Kota Kinabalu kami menetap di hotel
Promenade. Hotel ini terletak berdekatan dengan tempat-tempat menarik di
sekitar Kota Kinabalu. Dari sini kami hanya berjalan kaki untuk ke Pasar
Filipina yang banyak menjual barang-barang kemas seperti keronsang dan rantai berasaskan
mutiara dan kristal. Terdapat juga pelbagai jenis cenderamata lain dijual di
sini. Restoran makanan laut juga banyak terdapat berhampiran kawasan ini. Biasanya kami akan
berjalan kaki untuk menikmati makanan laut yang terletak di belakang pasar ini.
Pada sebelah petangnya kami hanya
menghabiskan masa bersiar-siar di sekitar bandar Kota Kinabalu. Tidak lupa juga
kami memborong hasil laut di sini kerana harganya jauh lebih murah dari di
semenanjung. Jika ada peluang, saya ingin mengulangi lawatan ke Sabah kerana banyak
tempat-tempat menarik yang belum di lawati di negeri ini.